Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

173) INISIATIF SISA-UNTUK-TENAGA (WASTE-TO-ENERGY) OLEH KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah projek-projek Sisa-untuk-Tenaga yang telah dimulakan atau sedang dirancang oleh Kerajaan Negeri bagi menangani isu peningkatan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gas - GHG)? Sila senaraikan setiap projek-projek ini dengan penerangan yang teliti.

    Isu perubahan iklim perlu ditangani segera dengan mengambil kira impak fenomena pemanasan global yang disebabkan oleh peningkatan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gas – GHG) ekoran aktiviti manusia. Ia akan memberi kesan kepada sistem iklim global yang seterusnya menyebabkan kejadian cuaca yang lebih ekstrem.

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, bagi menangani isu peningkatan pelepasan gas rumah kaca, Kerajaan Negeri telah merancang untuk melaksanakan Pembangunan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) di beberapa lokasi di Negeri Selangor. Setakat ini, dua (2) projek ISWMC telah diluluskan iaitu di Jeram, Kuala Selangor dan di Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat.

    Kemudahan-kemudahan ISWMC ini akan mempunyai beberapa fasiliti moden pengurusan pelupusan sampah seperti loji Waste-To-Energy (WTE) yang merupakan komponen utama, material recovery facility, loji kompos, loji pencernaan anaerobics dan loji pemprosesan sisa pembinaan. Projek ISWMC Jeram akan dibina dengan kapasiti untuk memproses dan melupuskan 3,500 tan sampah sehari manakala ISWMC di Tanjung Dua Belas akan mampu merawat 2,500 tan sampah sehari.

    Selain menjadi penyelesaian kepada isu kekurangan tanah di Selangor, teknologi WTE mampu menghasilkan kesan sifar bersih pelepasan gas rumah kaca (Net Zero Greenhouse Gas Emission).

    Di samping itu, reka bentuk konsep bangunan loji-loji WTE di kedua-dua ISWMC tersebut akan dibina untuk menghasilkan tekanan udara negatif terhadap kawasan sekelilingnya. Gas-gas seperti metana tidak akan merebak ke kawasan sekitar yang mana boleh dilihat dan sedang berlaku di tapak pelupusan sampah sedia ada. Dengan teknologi WTE, pencemaran bau dan gas ini akan dapat dielakkan.

    Selain daripada melaksanakan Pembangunan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC), Pihak Bekuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor juga turut komited dalam membantu Kerajaan untuk menangani isu peningkatan pelepasan gas rumah kaca iaitu dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif seperti berikut:

    1. Mengadakan program Kitar Semula Minyak Masak Terpakai kepada produk yang dikenali sebagai Aedes Biobased Fuel (ABBF).

    ABBF merupakan produk yang dihasilkan sebagai bahan gantian diesel di dalam kerja-kerja semburan kabus bagi kawalan denggi. Penggunaan bahan diesel akan menghasilkan pembakaran tidak lengkap dengan pelepasan gas toksik seperti hydrogen sulfide dan nitrous dioxide. Namun, penggantian ABBF sebagai sebatian lebih mesra alam jika dibandingkan penggunaan diesel kerana bahan ABBF ini mudah terurai disebabkan ianya daripada sumber bio iaitu minyak sayuran khususnya minyak sawit.

    1. Membina Pusat Pengkomposan Berpusat untuk kemudahan komuniti dan pemegang taruh menjalankan aktiviti pengkomposan.

    Projek ini dijangka akan bermula pada awal bulan Oktober 2022 oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor di daerah Kuala Selangor dan pembinaan pusat ini akan menerapkan dan mengamalkan amalan bangunan hijau. Projek ini adalah untuk mengalakkan komuniti mengumpulkan sisa dapur daripada rumah sebelum dihantar ke pusat pengkomposan untuk dijadikan sebagai baja kompos. Pusat pengkomposan ini bakal menjadi tarikan kerana selain daripada pengkomposan sisa malah terdapat beberapa fasiliti berkaitan kaedah pengurangan sisa akan diadakan di pusat tersebut.

    1. Mengumpul sisa makanan daripada peniaga restoran dan diproses untuk dijadikan baja kompos yang mana baja kompos tersebut akan diedarkan kepada persatuan penduduk di kawasan PBT yang menjalankan kebun komuniti seperti di kawasan Majlis Perbandaran Kajang. Sehingga kini, jumlah sisa makanan yang berjaya dikumpul adalah sebanyak 790 tan.\

    4.  Melaksanakan Program End Life Vehicle (ELV) bersama Car Medic Sdn. Bhd. untuk pengurusan pelupusan kereta-kereta terbiar dalam kawasan pentadbiran PBT antaranya Majlis Perbandaran Kajang. Melalui program ini, kereta-kereta terbiar diproses untuk mendapatkan bahan dan minyak terpakai dengan kaedah selamat yang mematuhi piawaian Jabatan Alam Sekitar. Jumlah kereta-kereta terbiar diproses sehingga terkini adalah sebanyak 322 unit di Kajang.

    1. Membangunkan projek Anaerobic Digester (AD) iaitu pusat rawatan sisa makanan berkapasiti 500 kilogram sehari yang menghasilkan baja cecair dan bio gas sebagai produk akhir. Di kantin Majlis Bandaraya Petaling Jaya, bio gas telah mula digunakan untuk tujuan memasak. Manakala di Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pusat Rawatan Sisa Makanan dijangka akan mula beroperasi pada penghujung bulan Julai 2022.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.