Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

171) KEMPEN 3R

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah Kerajaan Negeri serius mengangkat Kempen 3R dalam usaha mengurangkan penghasilan sisa buangan dan sampah di tapak pelupusan sampah?

    Penghasilan sisa buangan di tapak pelupusan sampah dijangka akan meningkat dengan kadar populasi di negeri Selangor khasnya yang semakin bertambah. Susulan daripada itu, Kerajaan Negeri terus memperkasakan program/inisiatif untuk kelestarian alam sekitar dengan mengangkat Kempen 3R sebagai komponen utama bagi pengurusan bahan buangan yang lebih baik dan mampan.

    Bagi memastikan tahap kesedaran kitar semula ini sentiasa meningkat, Kerajaan Negeri akan terus mempergiatkan kempen-kempen dan program-program seperti program kitar semula yang berunsurkan pendidikan dan kesedaran melalui Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor demi melestarikan kehidupan rakyat dan kesejahteraan alam sekitar.

    Kempen 3R adalah akronim kepada Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna Semula) & Recycle (Kitar Semula) dan antara bahan buangan yang boleh dikitar semula termasuklah aluminium, plastik dan surat khabar.  Kempen 3R telah dapat mengurangkan bahan buangan, mengurangkan penggunaan bahan mentah baru, mengurangkan penggunaan tenaga, mengurangkan pencemaran udara/ air dan mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau berbanding penghasilan barang baharu daripada bahan mentah. Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah melaksanakan pelbagai Program/ Kempen 3R seperti berikut:

    BIL. PBT PROGRAM/ PROJEK
    1. MBSA ·      Kempen kitar semula sekolah

    ·      Kempen kitar semula komuniti

    ·      Kempen kitar semula bangunan kerajaan

    ·      Tong kitar semula I-cycle

    ·      Program kutipan pengasingan sisa perumahan landed di lebih 108,000 buah rumah di Shah Alam bermula 2015

    ·      Program kutipan kitar semula perumahan strata kolaborasi bersama syarikat Nestle selaku penaja dalam CSR

    ·      Program Kutipan sisa kitar semula dan makanan di restoran

    ·      kutipan pakaian terpakai untuk sumbangan kepada MAKNA

    2. MBPJ ·      Mengamalkan konsep circular economy selaras dengan New Urban Agenda dan Dasar Kebersihan Negara

    ·      Program 3R secara menyeluruh di semua peringkat

    ·      Melaksanakan konsep polluter pay dengan bayaran perkhidmatan dikenakan kepada penjana sampah.

    ·      Program berkonsepkan Communication, Education and Public Awareness (CEPA)

    ·      Kemudahan waste treatment facility untuk sisa stryrofoam, sisa makanan dan sisa plastik.

    ·      Menjalankan usahasama dengan pihak korporat secara Extented Producer Responsibility (EPR) bagi program pengasingan sampah, peletakkan tong dan tempat kitar semula.

    ·      Pemberian insentif seperti skim rebat cukai taksiran, geran komuniti mampan dan tabung amanah 3R.

    ·      Melaksanakan pengkomposan sisa makanan menggunakan teknologi hijau Anaerobic Digester.

    ·      Mewujudkan pusat PJ Eco Recycling Plaza di SS8

     

    BIL. PBT PROGRAM/ PROJEK
        Mewujudkan pusat Smart PJ Waste Solution Lab di SS2 sebagai pusat pembelajaran berkaitan pengkomposan sisa makanan.
    3. MBSJ ·      Program Kios Jom Kitar (Kumpul dan Tukar)

    ·      Program kitar semula E-Sisa

    ·      Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai

    ·      Program pengasingan sisa premis makanan

    ·      Program Pengasingan sisa di kawasan perumahan (kitar semula dan kompos)

    ·      Program pengasingan sisa kawasan perumahan teres bersama KDEBWM dan Nestle (kutipan dari pintu ke pintu)

    ·      Kompos sisa kebun/ vermi

    ·      Pengasingan sisa makanan (Anaerobic Digestion)

    4. MPKj ·      Program 3R bersama masyarakat dan penyerahan tong kitar semula kepada penduduk

    ·      Program kitar semula minyak masak.

    5. MPS ·      Program-program kitar semula dilakukan menyeluruh di setiap lapisan masyarakat, termasuk pelajar sekolah, kawasan komuniti dan juga setiap institusi kerajaan serta swasta.

    ·      Program Bank Kitar Semula

    6. MPK ·      Pertandingan Kebersihan & Keceriaan Taman Perumahan Peringkat Majlis

    ·      Pertandingan Kitar Semula Peringkat Majlis

    ·      Program Kitar Semula Kaedah Pintu ke Pintu

    ·      Kempen Pengumpulan E-Waste Negeri Selangor

    ·      Pertandingan Keseluruhan Zon (Pengurusan Sisa Pepejal & Pembersihan Awam) Peringkat Majlis

    ·       4 Pusat Kitar Semula Klang dengan konsep ‘Drop in Waste’

    7. MPAJ ·      4 pusat pengumpulan kitar semula;

    ·      Sangkar kitar semula bagi penempatan tong kitar semula daripada NGO

    ·      Program pengasingan sisa di punca di mana kutipan kitar semula akan dilaksanakan di hadapan rumah pada hari yang ditetapkan di setiap taman perumahan yang berminat.

    8. MPSp ·      PBT bekerjasama dengan pihak NGO dengan meletakkan tong-tong kitar semula di kawasan yang berkaitan.

    ·      Program Pengasingan Sampah (KOMPAS)

    ·      Pertandingan Kitar Semula di dalam Porgram EKSA di PBT

    9. MPKL Program Ramadhan Mampan (pengumpulan minyak masak bagi peniaga Bazar Ramadhan)

     

    10. MPKS ·      Kempen Sayangi Alam Sekitar sebanyak 12 kali setahun.

    ·      Program pengumpulan minyak masak terpakai

    ·      Program pengumpulan barangan eletrik yang dikenali sebagai E – Waste.

    ·      Pertandingan Video Pendek 3R

    ·      2 unit kabin kitar semula dan ditempatkan di kawasan yang diselia oleh Majlis Perwakilan Penduduk untuk menjalankan aktiviti pengumpulan sisa dengan betul.

    11. MPHS Perkhidmatan kontena dan tong kitar semula
    12. MDSB ·      Perkhidmatan tong 3R di 8 buah sekolah

    ·      Perkhidmatan 2 kabin kitar semula di stadium

    ·      Perkhidmatan 5 lokasi tong pengumpulan minyak masak terpakai

    ·      Perkhidmatan tong pengumpulan pakaian terpakai

  2. Adakah terdapat sebarang perancangan ke arah memperkasa secara serius kesedaran masyarakat tetang pentingnya amalan kitar semula?

    Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam usaha melestarikan alam sekitar dengan menjadikan Kempen 3R sebagai salah satu usaha dalam mendepani isu alam sekitar seperti perubahan iklim dan pemanasan global. Program Kitar Semula ini boleh menjadi pemangkin ke arah kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar melalui penglibatan penduduk secara terus dalam pengurusan sisa di mana penduduk akan di didik untuk lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sisa seharian dan mengamalkan 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle yang mana konsep ini secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat mengurangkan penghasilan sampah melalui guna semula dan kitar semula.

    Kerajaan Negeri akan terus memperkasakan Kempen 3R secara bersepadu dan dilaksanakan dalam skala besar dengan beberapa penambahbaikan dari segi ketersediaan fasiliti Pusat Kitar Semula (PKS) terutama sekali di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi supaya masyarakat mudah untuk mengakses kemudahan yang disediakan. Kerajaan Negeri juga berpandangan adalah wajar negeri beralih kepada pengurusan sisa pepejal ke arah ekonomi kitaran yang menekankan amalan penggunaan dan pengeluaran yang mampan. Selain itu, galakan berterusan diberikan kepada institusi pendidikan, pejabat, kawasan kediaman dan industri dalam mengamalkan Kempen 3R dengan menyediakan pelbagai insentif, pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.

    Pelbagai mekanisma berbentuk insentif ekonomi, tindakan penguatkuasaan, promosi media sosial, aplikasi teknologi hijau, aktiviti meningkatkan kemahiran dan tahap pengetahuan serta kesukarelawan akan lebih dipergiatkan dengan penglibatan daripada semua lapisan masyarakat dan pemegang taruh seperti bangunan komersial, kilang, bangunan kerajaan, sekolah dan kediaman. Ianya secara tidak langsung dapat meminimumkan pembuangan sampah ke tapak pelupusan sampah (landfill).

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.