Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
161) TAMAN ALAM KUALA SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah peranan Kerajaan Negeri dalam menambahbaik tarikan pelancong ke Taman Alam Kuala Selangor?
Berdasarkan data bilangan hotel yang terdapat di Daerah Kuala Selangor, tiada hotel bertaraf 4 bintang dan ke atas yang menjadi permintaan kepada pelancong dari negara China, Taiwan, Hong Kong dan juga negara dari timur tengah. Oleh yang demikian, sebagai salah satu usaha Kerajaan Negeri dalam menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Kuala Selangor khususnya ke Taman Alam Kuala Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil 39/2021 bertarikh 17 November 2021 secara dasarnya telah meluluskan cadangan untuk memajukan Taman Alam Kuala Selangor sebagai sebuah pusat pelancongan bertaraf antarabangsa. Walau bagaimanapun beberapa perkara masih perlu diteliti dan dikaji semula.
-
Bagaimanakah cadangan tersebut dapat memberi impak positif kepada penduduk tempatan dan alam sekitar?
Kerajaan Negeri melihat bahawa cadangan ini bukan sahaja dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, malahan projek ini juga dapat membantu pengusaha produk pelancongan di sekitar Kuala Selangor untuk meningkatkan pendapatan mereka kerana projek ini dapat menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Kuala Selangor. Selain daripada itu, pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya bakau juga akan lebih terjamin.
-
Apakah jaminan Kerajaan Negeri dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya bakau disitu?
Pembangunan di tanah rizab hutan sebagai pusat pelancongan bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini. Terdapat banyak kawasan di dalam rizab hutan telah diberi permit penggunaan bagi tujuan rekreasi seperti di Taman Eko Rimba Hutan Simpan Machincang, Langkawi, Taman Negeri Rompin, Pahang, Bako National Park, Sarawak dan Hutan Simpan Sepilok, Sabah. Justeru, bagi cadagan untuk membangunkan kawasan Taman Alam Kuala Selangor ini beberapa penetapan zon perlindungan perlu diambil kira bagi memastikan hutan paya bakau terpelihara. Antara ketetapan yang akan dilaksanakan adalah seperti:
- Menyediakan zon penampan pembangunan (buffer zone) untuk mencegah/ meminimumkan kerosakan pokok semasa proses pembangunan dijalankan.
- Mengenakan syarat kepada pemaju untuk mengemukakan atau menyatakan Kaedah Pengurusan Perlindungan Pokok-pokok Pesisir Pantai secara Arboricultural Method Statement di peringkat perancangan dan reka bentuk (planning and design), pra pembinaan (pre-construction), pembinaan (construction) dan pasca pembinaan (post-construction).
- Memperkenalkan Kaedah Perlindungan Pokok (Tree Protection Plan) dan Arboriculture Impact Assessment di peringkat syarat kelulusan Kebenaran Merancang (KM) oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
- Pihak pemaju juga akan dikehendaki untuk menjalankan penilaian pembangunan berpandukan “Laporan Kajian Kepentingan Nilai Ekosistem Hutan Paya Bakau Sebagai Fungsi Perlindungan Pantai Terhadap Komuniti dan Aktiviti Ekonomi di Persisiran Pantai Klang, Selangor, 2015”