Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

158) PAIP AIR KERAP PECAH DI KAWASAN BATU 17 – BATU 18 HULU LANGAT

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang akan diambil kerajaan bagi mengatasi masalah paip yang kerap pecah di kawasan Batu 17 - Batu 18 Hulu Langat?

    Bagi mengatasi masalah paip pecah, Air Selangor telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang kritikal di kawasan Batu 17 ke Batu 18 Hulu Langat bagi pelaksanaan Program Penggantian Paip. Air Selangor telah merancang dan melaksanakan penggantian paip dalam kawasan DUN Dusun Tua di enam (6) buah lokasi hotspot.

     

    Pertama: Di bawah Pakej 12, 2 (dua) lokasi hotspot telah dikenalpasti iaitu (i) Dari Simpang Empat (Peladang) sehingga Sebelum Jambatan Sungai Semungkis yang melibatkan penggantian paip bersaiz 250mm diameter dengan panjang 1.5km dan (ii) Dari Sekolah Kebangsaan Abd Jalil sehingga Depan Madrasah Khairiah (Kampung Sungai Gahal) yang melibatkan penggantian paip bersaiz 150mm diameter dengan panjang 1.5km telah selesai dilaksanakan.

     

    Kedua: Di bawah Pakej 17, 2 (dua) lokasi hotspot telah dikenalpasti iaitu (i) Jalan Hulu Langat Batu 16 (Kiri) yang melibatkan penggantian paip bersaiz 300mm diameter dengan anggaran panjang 1.6km dan (ii) Jalan Hulu Langat Batu 16 (Kanan) yang melibatkan penggantian paip bersaiz 300mm diameter dengan anggaran panjang 1.628km sedang dijalankan dan dijangka siap pada Disember 2022.

     

    Ketiga: Manakala, di bawah Pakej 62, 2 (dua) lokasi hotspot telah dikenalpasti iaitu (i) Jalan Hulu Langat Batu 14 (kiri Jalan) yang melibatkan penggantian paip bersaiz 250mm diameter dengan anggaran panjang 1.8km dan (ii) Jalan Hulu Langat Batu 14 (kanan Jalan) yang melibatkan penggantian paip bersaiz 250 mm diameter dengan anggaran panjang 0.6km telah mendapat kelulusan kontrak bagi kerja-kerja penggantian paip dijalankan. Air Selangor juga sedang dalam proses permohonan permit korekan untuk menjalankan kerjakerja pergantian paip di kawasan tersebut.

     

    Bagi mengawal kejadian paip pecah, Air Selangor akan melaksanakan pembentukan District Metering Zone (DMZ) (atau Zon Pemeteran Daerah) bertujuan untuk memantau dan mengawal tekanan air secara optimum pada jajaran paip di Batu 17 ke Batu 18 Jalan Hulu Langat selewat-lewatnya pada hujung bulan Julai 2022.

Lampiran

Tiada Lampiran.