Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
147) MASALAH INFRASTRUKTUR
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap penampalan jalan berlubang dilakukan dengan kadar segera?
Bagi aduan pothole, JKR Selangor melalui JKR Daerah akan memastikan aduan tersebut ditangani dalam tempoh 24 jam dan kerja-kerja baikpulih akan dilaksanakan oleh kontraktor konsesi yang dilantik untuk Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri. Ia selaras dengan Piagam Pelanggan JKR bagi menampal pothole dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.
Bagi mempertingkatkan lagi pengurusan di Jalan Raya Negeri bawah seliaan JKR Selangor, Kerajaan Negeri Selangor telah membangunkan Projek Sistem Pengurusan Geospatial Smartsel (SELGEM) dan di bawah projek tersebut turut dibangunkan adalah Smart Road Asset & Management System (SRAMS). Ia berfungsi sebagai sistem untuk merekodkan aset jalan secara digital serta pengurusan dan penyelenggaraan jalan yang melibatkan Jalan Raya Negeri.
Melalui sistem ini, cerapan kerosakan jalan adalah menggunakan teknologi Artificial Intelligence (AI) yang telah diterapkan ke dalam sistem berkenaan. Cerapan data berkenaan adalah mengunakan dua (2) kaedah iaitu menggunakan ‘Ai Dashcam Detection’ (peralatan dipasang pada kenderaan) dan ‘Ai Drone Detection’.
Setelah cerapan dilakukan, data-data berkenaan akan dianalisa di Command Center dan pasukan petugas akan diarah ke lokasi kerosakan dengan kadar segera untuk melaksanakan kerja-kerja baikpulih secara kecemasan.
Untuk meningkatkan kualiti pembaikan dan penurapan semula jalan raya, pemantauan kualiti kerja-kerja turapan di Negeri Selangor dilakukan berdasarkan kepada Standard Operating Procedure (SOP) Senggara Jalan yang dikeluarkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, Ibupejabat JKR Malaysia.
Berdasarkan kepada SOP tersebut, tindakan-tindakan yang akan diambil adalah seperti berikut;
- Kerja penampalan sementara untuk potholes akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam apabila ia dikenalpasti dengan menggunakan bahan turapan ‘Cold Mix’ supaya keselamatan pengguna terjamin. Penampalan kekal akan dilaksanakan dalam tempoh 3 hari dengan menggunakan bahan turapan ‘Hot Mix’.
- Rondaan audit sentiasa dilakukan melibatkan JKR Daerah dan konsesi bagi memantau keadaan jalan sebenar di tapak. Kegagalan pihak konsesi melaksanakan kerja pembaikan di tapak akan menyebabkan pihak konsesi dikenakan NCR dan pemotongan ke atas tuntutan bayaran bulanan untuk kerja penyenggaraan jalan dilakukan sebagai penalti.
-
Adakah perancangan JKR Selangor untuk menggantikan lampu jalan sedia ada yang kerap rosak dengan lampu jalan yang baru yang lebih berdaya tahan?
Bermula tahun 2010, pemasangan baru lampu jalan yang dilaksanakan oleh JKR Selangor telah menggunapakai lampu jalan jenis LED yang lebih cekap tenaga dan mesra alam (teknologi hijau). Daya tahan (lifespan) lampu jalan jenis LED adalah 50,000 jam (11 tahun) berbanding lampu konvensional jenis HPSV (High Pressure Sodium Vapor) sebanyak 15,000 jam sahaja (3 tahun).
Lampu HPSV perlu disenggara setiap 3 tahun (ditukar mentol baru) dengan kos penyenggaraan sebanyak RM 250.00 setiap tiang manakala lampu LED perlu diganti keseluruhan model sekiranya rosak dengan kos penyenggaraan sebanyak RM 2,000.00 setiap tiang. Kebarangkalian untuk lampu LED rosak adalah rendah dan sekiranya masih dalam tempoh waranti (5 tahun), Pembekal bertanggungjawab untuk membaiki kerosakan lampu tersebut dan pihak JKR Selangor perlu menyediakan peruntukan kos logistik untuk menurunkan lampu tersebut dan dihantar ke kilang Pembekal serta memasang baru lampu yang dibaiki yang dianggarkan bernilai RM 1,000.00 setiap tiang.
Aduan kerosakan lampu jalan yang diterima oleh pihak JKR Selangor secara puratanya adalah lebih kepada vandalisma terhadap kabel bekalan elektrik (kecurian, sabotaj, penyambungan haram, kemalangan dan lain-lain lagi). Kos pembaikan kabel elektrik ini adalah besar dan rumit bergantung kepada punca kerosakan. Peruntukan senggaraan lampu jalan yang diterima setiap tahun bagi mengatasi masalah ini adalah terhad dan dilaksanakan berdasarkan tahap kritikal sesuatu pemasangan.
Bagi cadangan penggantian lampu HPSV ke lampu LED akan dilaksanakan secara khusus di mana pihak JKR Selangor akan membuat kajian pasaran perbandingan dari segi kos senggaraan dan memohon peruntukan khas untuk pelaksanaan kerja-kerja tersebut.