Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
145) SEKURITI MAKANAN
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor untuk menangani sekuriti makanan yang sedang terancam?
Perancangan jangka pendek dan jangka panjang Kerajaan Negeri Selangor untuk menangani sekuriti makanan yang terancam adalah melalui pelaksanaan Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang merangkumi 5 dasar dan 9 kluster iaitu :-
- Pertanian Bernilai Tinggi (High Value Product);
- Pemodenan Pertanian (Agriculture Modernization);
- Rantaian Bekalan Makanan Lengkap (Complete Supply Chain);
- Pembangunan Agropreneur (Agropreneur Development); dan
- Agro Pelancongan (Agro Tourism).
Objektif PeTA adalah seperti berikut :-
- Produktiviti
Meningkatkan jumlah hasil pengeluaran dan secara langsung meningkatkan jaminan bekalan makanan atau self sufficiency levels (SSL).
- Ekonomi
Meningkatkan sumbangan kepada nilai KDNK sektor pertanian (makanan) Negeri Selangor.
- Modal Insan
Mewujudkan peluang sumber pendapatan khususnya kepada golongan muda serta menyediakan latihan dan bimbangan secara hands-on kepada mereka yang berminat.
Bagi pelaksanaan PeTA tersebut, ianya telah dipecahkan kepada 9 kluster iaitu :-
- Agro Prihatin
- Pengurusan lambakan hasil pertanian.
- Pemberian bantuan / insentif kepada golongan petani, penternak, nelayan dan Industri Asas Tani (IAT).
- Agro Komuniti
- Program agro bandar dan kebun komuniti.
- Agro Siswa.
- Agro Sekolah.
- Agro Centre Of Excellence (ACE)
- Meningkat kajian dan pelaksanaan untuk mengeluarkan benih tanaman, baka ternakan dan akuakultur serta kajian bagi mengurangkan kos makanan ternakan serta penghasilan input-input tanaman yang bersifat mesra alam.
- Agropreneur Selangor
- Mewujudkan lebih ramai agroprenuer.
- Program Ikon Selangor.
- Pendaftaran agroprenuer.
- Agro Pelancongan
- Galakan untuk mewujudkan lebih banyak lokasi agro pelancongan berasaskan projek-projek pertanian yang sedia ada sebagai pendapatan tambahan kepada pengusaha.
- Melaksanakan program-program bagi mempromosikan lokasi pertanian seperti Pesta D’Bendang dan Sport Fishing.
- Maju Agro Selangor
- Program meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan agroprenuer.
- Membina dan menaik taraf prasarana berkaitan sektor pertanian.
- Agro Niaga
- Mewujudkan lebih banyak pusat-pusat pengumpulan yang lengkap.
- Promosi hasil segar dan proses di dalam dan luar negara.
- Mewujudkan lokasi-lokasi jualan secara terus kepada pengguna seperti Selangor Agro Market (SAM) dan Program Agro Ehsan.
- E-Agro
- Pusat pengumpulan data-data pertanian seperti kawasan yang sedang diusahakan dengan projek pertanian, jumlah pengusaha sektor pertanian makanan segar dan proses serta maklumat tanah-tanah pertanian milik Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat yang berpotensi untuk dimajukan.
- Borang-borang permohonan insentif pertanian dan pendaftaran agroprenuer secara atas talian.
- Smart Selangor Agro Park (SSAP) Dan Smart Selangor Agro Farm (SSAF)
- Pembukaan lebih banyak kawasan-kawasan pertanian makanan berteraskan Dasar PeTA.
Melalui pelaksanaan dasar tersebut, ianya telah merangkumi keseluruhan strategi jangka pendek dan jangka Panjang sebagai jaminan kepada rakyat Negeri Selangor untuk sekuriti makanan iaitu bermula dari Kajian Dan Pembangunan (R & D) sehinggalah kepada pemasaran dan harga jualan.
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri Selangor dalam penggunaan tanah-tanah terbiar secara optimum untuk mengatasi masalah ini?
Bagi memastikan setiap inci tanah dapat digunakan secara optimum, Kerajaan Negeri telah mula mengambil langkah mengadakan kerjasama dengan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu untuk membangunkan tanah-tanah yang masih belum dibangunkan dengan projek komersial untuk tempoh tidak kurang dari 10 tahun di mana tempoh tersebut telah memberikan pulangan kepada projek-projek yang dilaksanakan samada secara sewaan ataupun secara usahasama antara anak syarikat dengan pengusaha.
Bagi tanah-tanah rizab sungai, ianya turut akan dibangunkan dengan projek-projek tanaman jangka pendek dan tidak mencemarkan air sungai iaitu menetapkan hanya penggunaan baja-baja dan kawalan serangga secara organik sahaja dibenarkan.
Untuk tanah-tanah milik individu, Kerajaan Negeri perlu mencari formula yang sesuai di mana Program Pembangunan Tanah Terbiar yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Selangor tidak mencapai sasaran disebabkan kurang mendapat sambutan serta terdapat pemilik yang mengambil semula tanah mereka walaupun setelah penjajian dimeterai terutama sekali apabila tanah-tanah tersebut telah selesai proses pembersihan tapak.