Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

141) ISU JALAN BERLUBANG

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah strategi Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah jalan berlubang yang seringkali berlaku di Selangor?

    JKR Selangor sentiasa mengambil tindakan proaktif dan segera dalam menangani masalah jalan – jalan berlubang, sama ada di Jalan Persekutuan mahupun Jalan Raya Negeri di bawah penyelenggaraan JKR Selangor. Punca kerosakan jalan adalah seperti berikut;

    • Keadaan tanah semulajadi di Negeri Selangor (Marine Clay) merupakan salah satu punca masalah jalan-jalan berlubang di Negeri Selangor terutama di Daerah Klang, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
    • Faktor pertambahan bebanan trafik dan kenderaan berat lebih muatan yang melalui jalan tersebut juga menjadi salah satu punca kerosakan jalan dan ia turut memendekkan jangka hayat jalan berkenaan. Ia memerlukan penguatkuasaan yang berterusan untuk mengatasi masalah berkenaan.
    • Kerja – kerja korekan jalan yang dilakukan oleh pihak utiliti turut menjadi punca jalan – jalan berlubang. Setelah kerja – kerja pemasangan kabel paip dilakukan, jalan berkenaan tidak diturap dengan baik dan ia menyebabkan jalan menjadi lebih mudah rosak.

    Bagi aduan pothole, JKR Selangor melalui JKR Daerah akan memastikan aduan tersebut ditangani dalam tempoh 24 jam dan kerja-kerja baikpulih akan dilaksanakan oleh kontraktor konsesi yang dilantik untuk Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri. Ia selaras dengan Piagam Pelanggan JKR bagi menampal pothole dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.

    Bagi mempertingkatkan lagi pengurusan di Jalan Raya Negeri bawah seliaan JKR Selangor, Kerajaan Negeri Selangor telah membangunkan Projek Sistem Pengurusan Geospatial Smartsel (SELGEM) dan di bawah projek tersebut turut dibangunkan adalah Smart Road Asset & Management System (SRAMS). Ia berfungsi sebagai sistem untuk merekodkan aset jalan secara digital serta pengurusan dan penyelenggaraan jalan yang melibatkan Jalan Raya Negeri.

    Melalui sistem ini, cerapan kerosakan jalan adalah menggunakan teknologi Artificial Intelligence (AI) yang telah diterapkan ke dalam sistem berkenaan. Cerapan data berkenaan adalah mengunakan dua (2) kaedah iaitu menggunakan ‘Ai Dashcam Detection’ (peralatan dipasang pada kenderaan) dan ‘Ai Drone Detection’.

    Setelah cerapan dilakukan, data-data berkenaan akan dianalisa di ‘Command Center’ dan pasukan petugas akan diarah ke lokasi kerosakan dengan kadar segera untuk melaksanakan kerja-kerja baikpulih secara kecemasan.

    Untuk meningkatkan kualiti pembaikan dan penurapan semula jalan raya, pemantauan kualiti kerja-kerja turapan di Negeri Selangor dilakukan berdasarkan kepada Standard Operating Procedure (SOP) Senggara Jalan yang dikeluarkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, Ibupejabat JKR Malaysia.

    Berdasarkan kepada SOP tersebut, tindakan-tindakan yang akan diambil adalah seperti berikut;

    • Kerja penampalan sementara untuk potholes akan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam apabila ia dikenalpasti dengan menggunakan bahan turapan ‘Cold Mix’ supaya keselamatan pengguna terjamin. Penampalan kekal akan dilaksanakan dalam tempoh 3 hari dengan menggunakan bahan turapan ‘Hot Mix’.
    • Rondaan audit sentiasa dilakukan melibatkan JKR Daerah dan konsesi bagi memantau keadaan jalan sebenar di tapak. Kegagalan pihak konsesi melaksanakan kerja pembaikan di tapak akan menyebabkan pihak konsesi dikenakan NCR dan pemotongan ke atas tuntutan bayaran bulanan untuk kerja penyenggaraan jalan dilakukan sebagai penalti.
    • Bagi mengawal aspek kualiti, JKR Selangor mengambil tindakan dengan melaksanakan audit kuari untuk memastikan campuran asphalt yang digunakan adalah mengikut spesifikasi. Kawalan spesifikasi amat penting agar kualiti asphalt yang digunakan dapat menjamin ketahanannya mengikut tempoh yang sepatutnya iaitu 7 tahun bagi kerja senggara jalan sedia ada.
  2. Adakah kaedah yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri berkesan dalam mengatasi masalah tersebut?

    Spesifikasi pembinaan dan membaiki jalan raya akan sentiasa ditingkatkan dengan mengemaskini Standard Operating Procedure (SOP) Senggara Jalan dari masa ke semasa. Ini adalah untuk memastikan SOP yang disediakan menepati kehendak dan keperluan kerja-kerja di tapak. Peningkatan spesifikasi adalah berdasarkan kepada keperluan teknikal di tapak seperti mempelbagai kaedah turapan jalan menggunakan bahan serta teknologi terkini, misalnya penggunaan kaedah Cold In Place Recycling (CIPR) yang amat berkesan untuk membaikpulih kerosakan pada struktur jalan.

    Di samping itu, JKR Selangor juga telah menggunakan Polymer Modified Asphalt (PMA) sebagai salah satu bahan turapan bagi menyelenggara jalan. Polymer Modified Asphalt (PMA) adalah merujuk kepada modifikasi yang dibuat ke atas bitumen asli dengan menambahkan bahan polimer bagi meningkatkan kualiti bitumen itu sendiri sekaligus meningkatkan kualiti bahan turapan jalan yang akan digunakan dalam pembinaan jalan. Walaupun PMA mampu untuk meningkatkan hayat turapan kerana mempunyai daya tahan yang lebih baik, namun harganya sangat tinggi dan biasanya menjadi penyebab kepada peningkatan kos awalan projek.

    Kaedah baikpulih yang dinyatakan terbukti berkesan terutama di Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam iaitu penggunaan kaedah Cold In Place Recycling (CIPR) serta di Daerah Kuala Langat yang menggunakan kaedah Polymer Modified Cement (PMC) di dapati berkesan mengatasi kerosakan pada struktur jalan serta jalan berlubang.

  3. Adakah pengguna boleh membuat tuntutan kepada agensi kerajaan sekiranya berlaku kemalangan disebabkan jalan rosak/berlubang?

    Pengguna jalan raya yang terlibat dengan kemalangan berpunca dari kerosakan jalan (Jalan Persekutuan & Jalan Raya Negeri) boleh mengemukakan tuntutan gantirugi yang lengkap ke atas kemalangan tersebut kepada Kerajaan Negeri. Proses tuntutan gantirugi tersebut memerlukan beberapa peringkat siasatan serta maklumbalas dari agensi berkaitan kerana ia melibatkan aspek perundangan.

Lampiran

Tiada Lampiran.