Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
136) PELAN PENGURANGAN KARBON PBT
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah pelan pengurangan karbon di udara oleh 12 Pihak Berkuasa Tempatan dalam Selangor?
Pembangunan bandar adalah punca utama pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang menyumbang masalah perubahan iklim global. Didorong dengan peningkatan penduduk, keadaan ini bertambah buruk melainkan langkah berkesan diambil untuk melaksanakan pembangunan hijau dan lestari. Justeru, hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon merupakan salah satu daripada tujuh keutamaan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dengan menyasarkan kewujudan 200 zon rendah karbon di seluruh negara menjelang 2030.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah melaksanakan perbandaran hijau di Negeri Selangor, di mana Kerangka Bandar Rendah Karbon atau Low Carbon Cities Framework and Assessment System (LCCF) akan digunapakai dalam perancangan dasar dan di peringkat keputusan di semua PBT di Negeri Selangor. LCCF ini meliputi aspek pengurusan tenaga, sistem pengangkutan, pengurusan sisa, alam sekitar dan infrastruktur. Ia juga selaras dengan matlamat Sustainable Development Goals (SDGs). LCCF ini juga menterjemahkan agenda National Low Carbon City Masterplan (NLCCM) di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) untuk menjadi negara bebas karbon seawal tahun 2050. Perlaksanaan Bandar Rendah Karbon ini akan dapat mengukur tahap pengeluaran karbon semasa dan mengenalpasti sasaran bagi setiap perbandaran, serta membantu PBT menetapkan strategi pengurangan karbon dan seterusnya mengukur prestasi tindakan bagi setiap perbandaran.
PBT juga sedang dalam melaksanakan kajian dan laporan inventori GHG bertujuan untuk menyediakan data tanda aras GHG yang komprehensif meliputi semua aktiviti yang berlaku dalam kawasan bandar. Ianya juga akan digunapakai untuk mendapatkan jumlah keseluruhan jejak karbon atau carbon footprint dan intensiti karbon di bandar-bandar. Selain itu, PBT turut menggalakkan pengurusan tenaga, kecekapan tenaga dan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) diaplikasikan di bangunan/premis dan perumahan di negeri Selangor bagi mengurangkan penggunaan tenaga, kos, perubahan iklim dan kebergantungan terhadap bahan bakar fosil untuk bekalan tenaga di bandar-bandar.
Pengangkutan juga merupakan salah satu penyumbang utama pelepasan karbon di bandar dan pengurusan pengangkutan yang kurang efisyen serta menyebabkan penurunan kualiti hidup di bandar kerana bandar akan menjadi sesak dan terdedah kepada pencemaran. Oleh itu, PBT turut mempromosikan bandar yang berorientasikan transit atau Transit Oriented Development (TOD) dengan mengutamakan pembangunan lestari dan seimbang sehingga mencapai tahap pengurangan karbon yang maksima. Pembangunan TOD ini bertujuan menggalakkan penduduk yang mendiami kawasan yang berhampiran stesen transit untuk menggunakan perkhidmatan awam.
Antara program/projek yang dianjurkan oleh PBT dalam usaha mengurangkan pembebasan karbon adalah seperti penggalakkan pemasangan sistem solar, penggunaan lampu LED, Kebun Komuniti, program kitar semula (3R), pengurusan sisa pepejal, penanaman pokok, pemasangan sistem pengumpulan air hujan (SPAH), pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV Charging), perkhidmatan bas percuma Smart Selangor, pembinaan laluan basikal dan penjalan kaki.
Perubahan iklim dan pemanasan global telah meninggalkan impak besar, maka langkah berkesan perlu segera diambil untuk memperlahankan permasalahan ini dan mengurangkan kesannya. Ternyata bandar rendah karbon membawa banyak kesan positif terutama dalam mengurangkan kesan perubahan iklim global dan jejak karbon. Justeru, peranan aktif PBT dalam merealisasikan kewujudan bandar rendah karbon adalah diperlukan bagi membawa negeri Selangor ke arah negeri yang hijau dan berdaya huni.