Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

135) STADIUM SHAH ALAM

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan untuk pembangunan Stadium Shah Alam?

    Unit Projek Khas

    Sejak 2019 hingga 2021 Kerajaan Negeri telah menerima banyak kertas cadangan daripada pemain industri berkenaan baikpulih/pembangunan semula stadium melalui pelbagai agensi seperti DEFM, MBI dan SUK. Pada tahun 2020 Kerajaan Negeri melalui MBI telah menubuhkan jawatankuasa khas dinamakan sebagai “Unit Projek Khas” (UPK) yang diketuai Datuk Ir. Ruslan bin Abdul Aziz mantan Pengarah JKR Selangor, bagi mengkaji kertas-kertas cadangan tersebut dan pada masa yang sama mengkaji status kerosakan terkini KSSA. UPK juga bertanggungjawab mengkaji bentuk baikpulih yang bersesuaian dengan mengambil kira ancaman banjir, teknologi terkini, system utiliti yang lebih efisien, kos efektif dan keperluan pemegang-pemegang taruh seperti MSN, FAS serta Kerajaan Negeri.

    Berdasarkan kertas-kertas kerja yang telah dikaji, beberapa syarikat/konsortium telah disenarai pendek dan beberapa siri pembentangan telah pun dijalankan bagi memastikan proses pemilihan adalah telus dan adil. Hasil penilaian tersebut, UPK dan Kerajaan Negeri berminat untuk menjalankan kerjasama Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam bersama-sama syarikat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB). Kerajaan Negeri telah mengeluarkan Surat Niat kepada MRCB pada 15 Julai 2022 sebagai langkah permulaan kerjasama tersebut. Pemilihan MRCB dibuat berdasarkan beberapa faktor penting seperti pengalaman dalam projek naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil, kedudukan kewangan yang kukuh serta pemilikan saham MRCB oleh KWSP yang sekaligus dapat menyumbang kembali keuntungan kepada pencarum/rakyat.

    Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA)

    Pada 15 Julai 2022, Dato’ Seri Menteri Besar Selangor telah mengumumkan garis masa rancangan pembangunan KSSA. Bentuk pembangunan akan dibentangkan pada September 2022 setelah perbincangan dengan semua pemegang taruh yang berkaitan selesai antaranya, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), MBSA, Pejabat Tanah dan Galian(PTG), Selangor FC, DEFM dan Kerajaan Negeri sendiri. Pada peringkat ini, input dari setiap pemegang taruh akan dijadikan komponen kepada pembangunan KSSA bagi memastikan projek ini dapat memberi manfaat kepada pembangunan sukan Selangor, bola sepak Selangor dan komuniti

    Projek pembangunan dijangka akan bermula paka suku pertama 2023 dan siap sepenuhnya pada tahun 2026. Ini bermakna rakyat Selangor akan mendapat kemudahan Kompleks Sukan Shah Alam yang baru menjelang 2026.

  2. Berapakah kos yang telah dibelanjakan untuk menyelenggara Stadium Shah Alam sejak tahun 2013 hingga 2022 mengikut tahun?

    Kos Penyelenggaraan

     

    Purata kos penyelenggaraan, baikpulih dan operasi Kompleks Sukan Shah Alam(KSSA) adalah RM4 Juta setahun yang disalurkan dalam betuk geran kepada pengurusan fasiliti terlibat. DEFM menguruskan KSSA sepanjang 2018 hingga 2022. Bermakna kerajaan telah berbelanja RM56 Juta sejak tahun 2008 hingga 2022. Kerajaan Negeri juga terpaksa membayar tuntutan saman NAZA TTDI pada tahun 2020 bernilai RM40 juta terhadap Kerajaan Negeri disebabkan perjanjian “land swap”yang tidak setara nilai semasa pembinaan pada tahun 1994 di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.

     

    2013 – 2017

     

    Terdapat beberapa siri proses baikpulih besar yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk Stadium Shah Alam. Dalam tempoh 2015 hingga 2017, sekitar RM11.745 Juta telah dibelanjakan bagi menaiktaraf kemudahan tandas, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pembaikan bumbung stadium, naiktaraf kemudahan/bilik korporat VIP/VVIP dan naiktaraf lampu limpah padang. Kos ini tidak termasuk penyelenggaraan berkala dan pembaikan kecil sepanjang tempoh tersebut.

     

     

     

     

    2018 – 2022

     

    Sepanjang tempoh 2018 sehingga 2022, sebanyak RM 2.2 Juta telah dibelanjakan untuk membaikpulih beberapa kemudahan seperti mengecat pagar stadium, pembersihan beam, naiktaraf tandas dan bumbung. Sebanyak RM 5.22 Juta juga telah dibelanjakan bagi penyelenggaraan berkala seperti permbersihan luar dan dalam stadium, perkhidmatan kawalan keselamatan, penyelenggaraan lif, penyelenggaraan padang dan kerja-kerja eletrik serta sivil sepanjang tempoh tersebut.

     

    Peruntukan geran Kerajaan Negeri juga digunakan untuk kerja-kerja naiktaraf, penyelenggaraan dan baikpulih kemudahan kemudahan lain dalam Kompleks Sukan Shah Alam seperti Stadium Malawati, Stadium Mini, Pusat Akuatik, Lapangan Boling Padang dan Taman Sukan Lasak Seksyen 13.

Lampiran

Tiada Lampiran.