Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

130) MASALAH TUMPAHAN CAIRAN MINYAK SISA SAMPAH

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Mazwan Bin Johar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Tumpahan cairan minyak sisa sampah daripada lori sampah di bawah penyeliaan KDEB kerap kali berlaku sehingga menyebabkan beberapa insiden kemalangan jalan raya terutamanya membabitkan penunggang motosikal. Apakah tindakan kerajaan dalam menambah baik SOP yang lebih ketat untuk mengatasi masalah ini?

    Tumpahan yang kebiasaannya berlaku dari lori sampah adalah air larut resapan atau disebut sebagai leachete. Leachete ini terhasil daripada sisa pepejal domestik yang bercampur-campur dan basah yang terdiri daripada air, sisa makanan dan sebagainya. Isu leachete ini lazimnya berlaku pada musim hujan kerana kandungan air pada sampah akan meningkat khususnya sampah-sampah yang dibuang di kawasan terbuka dan juga di dalam tong sampah yang tidak bertutup seperti leachbin dan sebagainya.

    Setiap lori kompaktor KDEB Waste Management sememangnya mempunyai tangki leachete yang berfungsi untuk menakung air larut resapan yang keluar dari sampah-sampah yang telah dimampatkan di dalam lori kompaktor tersebut. Berdasarkan SOP yang telah ditetapkan oleh KDEB Waste Management, tangki leachete ini sepatutnya dikosongkan di tempat yang telah dikhususkan setiap kali lori-lori kompaktor ini melupuskan sampah di tapak pelupusan yang telah ditetapkan. Tumpahan leachete ini berkemungkinan berlaku kerana air leachete di dalam tangki tersebut telah melebihi kapasiti maksimum 150 liter yang telah ditetapkan atau terdapat kebocoran kepada tangki leachete di lori tersebut. Kebocoran ini kebiasaannya berlaku apabila lori kompaktor tersebut semakin berusia dan bahagian tailgate tidak dibersihkan dan diselenggara dengan betul. Air leachete ini kebiasaannya berasid dan lama kelamaan boleh menyebabkan bahagian tailgate lori tersebut berkarat dan bocor.

    Mengikut SOP yang dikeluarkan oleh KDEB Waste Management, tumpahan air leachete ini perlu segera dibersihkan. Tumpahan air leachete ini diklasifikasikan sebagai kesalahan yang besar. Bagi seluruh kawasan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), kesalahan tumpahan air leachete ini boleh dikenakan Notis Tindakan Pembetulan (NTP) dengan denda maksimum sebanyak RM1000 untuk setiap kesalahan.

    SOP berkenaan pengurusan tumpuhan air leachete dari lori sampah ini sememangnya telah sedia ada. KDEB Waste Management akan memastikan setiap sub-kontraktor mereka mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengelakkan insiden kemalangan ini berlaku di masa akan datang. Pemeriksaan secara berkala juga akan dibuat ke atas leachete tank pada lori-lori kompaktor milik sub-kontraktor KDEB Waste Management bagi memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan tumpahan air leachete di jalan raya. Sekiranya terdapat kebocoran, proses baik pulih perlu dilaksanakan segera dan kos baik pulih akan ditanggung sepenuhnya oleh sub-kontraktor KDEB Waste Management.

Lampiran

Tiada Lampiran.