Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

119) SISTEM KUMBAHAN NAJIS DI KAWASAN PERUMAHAN KOS RENDAH DI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri merancang untuk menaiktaraf sistem kumbahan di kawasan yang menggunakan 'Individual Septic Tank'?

    Penggunaan tangki septik (Individual Septic Tank – IST) mengikut garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hanya untuk pembangunan tidak melebihi 150 penduduk setara atau bersamaan dengan 30 unit rumah (5 penduduk setara/ rumah). Penggunaannya dihadkan dan tidak digalakkan disebabkan proses rawatan kumbahan IST adalah secara separa sahaja seterusnya boleh memudaratkan kesihatan rakyat dan kualiti alam sekitar sekiranya IST tidak dikosongkan mengikut jadual, iaitu sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 2 tahun mengikut Peraturan.

    Keperluan untuk menyediakan atau menaik taraf kemudahan pembetungan kepada sistem berpusat bagi sesuatu pembangunan adalah merupakan tanggungjawab pemaju sama ada projek yang dilaksanakan oleh entiti swasta atau pun kerajaan. Permohonan kelulusan sistem pembetungan adalah tertakluk kepada pematuhan ketetapan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan Peraturan subsidiarinya. Ertinya setiap cadangan pelan dan spesifikasi sistem rawatan kumbahan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada SPAN menerusi agensi perakuan yang dilantik iaitu Indah Water Konsortium (IWK).

Lampiran

Tiada Lampiran.