Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

110) PRESTASI KEWANGAN SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan prestasi kewangan terkini Negeri Selangor dari jumlah dalam Akaun Bersatu dan dalam simpanan Kerajaan Negeri terkini.

    Berkenaan dengan Prestasi dan Kedudukan Kewangan Kerajaan Negeri sehingga 30 Jun 2022, ianya adalah stabil dan dijangka akan terus stabil sehingga akhir tahun 31 Disember 2022. Kutipan hasil Negeri telah merekod kutipan sebanyak RM1,383.37 juta. Bagi perbelanjaan mengurus, daripada RM1,406 juta yang telah dibelanjawankan (termasuk peruntukan tambahan sebanyak RM186 juta), sebanyak RM749.95 juta telah dibelanjakan atau sebanyak 53.34%. Belanja pembangunan pula telah merekod sebanyak RM396.30 juta atau 35.29% daripada RM1,123 juta yang telah dibelanjawankan. Pada tempoh ini, masih terdapat lebihan kewangan sebanyak RM237.11 juta memandangkan kutipan hasil Negeri melebihi obligasi bayaran Kerajaan Negeri. Kedudukan Rizab Negeri melalui Akaun Hasil Disatukan adalah berjumlah RM1,118.71 juta manakala Akaun Amanah Disatukan berjumlah RM2,146.52 juta, menjadikan agregat keseluruhan rizab Negeri sehingga 30 Jun 2022 adalah sebanyak RM3,265.24 juta.

    Berdasarkan trend kutipan hasil tahun ini, Kerajaan Negeri optimis untuk mencapai sasaran kutipan sebanyak RM2 billion. Setelah mengambilkira perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang telah dibelanjawankan, Kerajaan Negeri mengunjurkan defisit tahunan yang telah dibelanjawankan sebanyak RM479 Juta, yang akan ditampung oleh Rizab Negeri melalui Akaun Hasil Disatukan. Namun begitu, Kerajaan Negeri berasa yakin melalui langkah-langkah kawalan perbelanjaan yang strategik dan berhemah akan dapat mengecilkan defisit ini pada akhir tahun.

    Jawapan itu tadi menjawab pertanyaan mulut YB Sungai Air Tawar berkaitan prestasi kewangan dan soalan bertulis YB Hulu Bernam berkaitan jangkaan defisit dan Rizab Negeri.

  2. Senaraikan tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan prestasi kewangan negeri ke tahap yang optimum.

    Berkaitan soalan YB Sungai Air Tawar berkenaan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan prestasi Kewangan ke tahap optimum, saya ingin memaklumkan yang Kerajaan Negeri telah melakukan usaha-usaha bagi meningkatkan kutipan hasil dan mengenalpasti sumber-sumber hasil baharu yang berpotensi. Kerajaan Negeri sedar akan kepentingan mempunyai ketahanan kewangan jangka panjang dan risiko – risiko ketidaktentuan disebabkan oleh tekanan inflasi dan perubahan iklim yang boleh memberi kesan kepada prestasi kewangan Kerajaan Negeri. Langkah-langkah kawalan perbelanjaan yang strategik dan kutipan hasil Negeri yang cekap dan berupaya untuk meningkatkan Rizab Negeri, mengecilkan defisit sehingga mencapai lebihan dalam prestasi kewangan. Apa yang penting, langkah-langkah ini tidak akan menjejaskan usaha-usaha Kerajaan negeri untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat Selangor secara keseluruhannya.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.