Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
107) KEMPEN BEBAS BEG PLASTIK
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah kutipan 20 sen bagi setiap beg plastik terkumpul sehingga 2021 dan dimanakah wang tersebut dibelanjakan?
“Kempen Bebas Plastik” telah mula dilaksanakan di negeri Selangor seawal Januari 2010 dengan penetapan tiada beg plastik pada setiap hari Sabtu. Pada 1 Januari 2020, Kerajaan Negeri telah menambah baik kempen ini dengan mengeluarkan dasar baharu melalui pelaksanaan Program Kutipan Caj Beg Plastik di Negeri Selangor dengan mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang dikeluarkan.
Berikut adalah jumlah kutipan yang telah dilaksanakan oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan di negeri Selangor bagi tahun 2020 dan 2021:
Daripada jumlah keseluruhan kutipan caj beg plastik tersebut, 60% disalurkan kepada Kerajaan Negeri manakala baki 40% disalurkan kepada PBT masing-masing mengikut pecahan seperti di bawah:
Pelbagai langkah telah diambil oleh Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. Pelbagai program dan kempen alam sekitar telah diadakan sebagai inisiatif Kerajaan Negeri bagi mempromosikan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar yang menggunakan peruntukan hasil kutipan di bawah Akaun Amanah Program Kutipan Caj Beg Plastik di Negeri Selangor. Berikut adalah program-program alam sekitar yang telah dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan daripada Akaun Amanah tersebut sepanjang tahun 2021 dan 2022:
Antara program/ projek yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan adalah seperti berikut:
(i) Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Selangor Tahun 2021/ 2022;
(ii) Projek Selangor Green-To-Go Alam Sekitar – Pendidikan;
(iii) Program Gaya Hidup Hijau – Projek Akuaponik Janaan Tenaga Solar Di Komuniti;
(iv) Hari Laut Sedunia Peringkat Negeri Selangor di Sabak Bernam;
(v) Program Sisa Jadi Dana (SIDINA) di Hulu Selangor;
(vi) Program Eco & Cashless Bazar Ramadan;
(vii) Tong Kompos untuk kebun komuniti;
(viii) Tong Kitar Semula;
(ix) Tong Roro untuk tapak pengumpulan daun kering Bandar Bukit Puchong;
(x) Program Recycle For Ampang Strata (ReFAST);
(xi) Pembelian Tong e-Waste (Acrylic);
(xii) Pengumpulan dan pelupusan bahan sisa terjadual (e-Waste);
(xiii) Pemasangan sistem solar;
(xiv) Pelaksanaan SPAH;
(xv) Pengumpulan dan pelupusan bahan sisa terjadual atau e-Waste;
(xvi) Program waste to food untuk Kempen “Hari-hari Tanpa Sampah”;
(xvii) Program Kebun Komuniti MPAJ 2021 dan 2022;
(xviii) Pertandingan Premis Bersih Go-Green Fog (Fat, Oil & Grease);
(xix) Program bebas plastik dan kempen pengurangan penggunaan penyedut minuman plastik;
(xx) Program kitar semula bersama penduduk kawasan skim pembangunan berstrata;
(xxi) Program Capacity Building di bawah projek Low Carbon City Framework (LCCF);
(xxii) Program Jahitan Banner Terpakai Bersama Ibu Tunggal Peringkat Daerah Kuala Langat;
(xxiii) Pemasangan Perangkap Sampah Sempena Projek Sungai Angkat di Parit DPLMX Kawasan Perindustrian Telok Panglima Garang;
(xxiv) Projek Pemasangan Sticker Kempen Bebas Plastik Di Lif Bangunan Berstrata Dengan Kerjasama Unit COB MPKS; dan
(xxv) Pertandingan Video Pendek 3R Peringkat Majlis Perbandaran Kuala Selangor .
-
Mampukah kutipan 20 sen bagi setiap beg plastik disalurkan kepada PBT bagi sumbangan tong sampah percuma kepada penduduk?
Hasil kutipan caj beg plastik di negeri Selangor telah disalurkan ke Akaun Amanah Kutipan Caj Beg Plastik Negeri Selangor (60%) dan Pihak Berkuasa Tempatan (40%). Berdasarkan kepada tatacara pengurusan Akaun Amanah, Kerajaan Negeri dan PBT dibenarkan untuk menggunakan hasil kutipan tersebut untuk melaksanakan program-program berkaitan alam sekitar di Negeri Selangor seperti aktiviti berkaitan kebersihan dan kelestarian alam sekitar termasuklah peruntukan bagi pemberian tong sampah secara percuma bagi kegunaan komuniti.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri berpandangan pemberian tong sampah untuk kitar semula kepada komuniti adalah lebih relevan. Dengan pemberian tersebut, ianya dapat menggalakkan kempen pengasingan sampah dari rumah. Pengasingan sisa pepejal dipunca merupakan satu proses ke arah pengurusan sisa pepejal yang lebih mesra alam. Sehubungan dengan itu, pengasingan sampah sepatutnya bermula dari rumah dan diuruskan oleh setiap komuniti setempat sebelum dihantar ke Pusat Kitar Semula yang berhampiran. Jika tong sampah kitar semula ini dapat dibekalkan dengan kadar yang mencukupi dengan lokasi yang bersesuaian, hal ini dapat memudahkan komuniti untuk bersama-sama melaksanakan kempen 3R secara bersepadu sekaligus dapat mengurangkan masalah sampah di tapak pelupusan sampah dalam jangka masa panjang.