Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

100) RUMAH SELANGORKU

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah rumah baharu dibawah Projek Rumah Selangorku yang tidak terjual mengikut jenis di Selangor sehingga kini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, jumlah projek Rumah Selangorku yang habis dijual sehingga 01 Julai 2022 adalah sebanyak 41,493 unit manakala baki unit yang masih belum terjual / jumlah pemohon yang masih belum memuktamadkan atau menandatangani perjanjian Jual-Beli adalah sebanyak 6,368 unit.

    Berdasarkan baki kekosongan Rumah Selangorku sebanyak 6,368 unit tersebut, proses penawaran nama kepada pemohon telah dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Senarai Nama Pemohon Rumah Selangorku dan Hartanah Harga Kawalan yang diurusetiakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Namun demikian, pemohon tersebut masih dalam proses menyelesaikan urusan pembelian rumah melibatkan proses mengemukakan dokumen untuk semakan dan pengesahan LPHS, proses pengeluaran surat tawaran di LPHS, proses pemilihan unit rumah di peringkat pemaju, dalam proses mendapatkan pembiayaan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan / bank dan sebagainya sebelum proses perjanjian Jual-Beli ditandatangani. Oleh itu, baki unit kosong tersebut masih dalam proses penjualan kepada pemohon sehingga urusan menandatangani Perjanjian Jual selesai.

     

    Sehingga kini, jumlah permohonan dalam senarai menunggu dalam Sistem Pendaftaran Permohonan Rumah Selangor (SPPR) masih terdapat 86,518 pemohon berdaftar yang boleh ditawarkan unit kosong akan datang namun kebarangkalian pemohon yang layak dan berjaya mendapatkan pinjaman perumahan dianggarkan seramai 50% iaitu 43,259 pemohon.

     

  2. Adakah Kerajaan Negeri merancang menaikkan harga rumah Selangorku pada masa akan datang akibat kenaikan harga bahan binaan?

    Dasar Perumahan Mampu Milik Kerajaan Negeri Selangor (Rumah Selangorku) telah menetapkan harga jualan bermula pada RM42,000.000 hingga RM250,000.00 seunit yang mana ianya selaras dengan dasar Kerajaan Persekutuan melalui Dasar Perumahan Negara Mampu Milik (DRMM) iaitu pada harga kurang daripada RM300,000 seunit.

     

    Setakat ini, Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk menaikkan harga jualan melebihi harga yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan memandangkan harga jualan tersebut merupakan harga yang realistik untuk ditawarkan kepada golongan sasaran pasca pandemik COVID-19. Dalam masa yang sama Kerajaan Negeri juga sentiasa aktif dalam memperkenal insentif dan pakej ransangan yang dapat menggalakkan pembinaan rumah mampu milik oleh oleh industri perumahan di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.