Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

81) ALAM SEKITAR UNTUK KAWASAN PERUMAHAN

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah sebarang program atau rancangan khas kerajaan untuk menggalakkan masyarakat terlibat dalam usaha menjaga alam sekitar?

    Kerajaan Negeri sentiasa merancang dan melaksanakan program/ projek ke arah kelestarian alam sekitar dan pelan jangkaan yang akan berlaku terhadap ekosistem pada masa sekarang. Isu pemanasan global yang memberi kesan kepada perubahan iklim dunia kembali menjadi perhatian dan semakin hangat diperkatakan susulan tragedi besar bencana banjir yang berlaku di Selangor pada Disember tahun lepas. Menyedari akan impak perubahan iklim kepada rakyat Negeri Selangor, Kerajaan Negeri menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor (IKLIMSELANGOR) bagi membantu Kerajaan Negeri Selangor merancang, melaksana dan memantau program dan projek sedia ada dan baharu, serta mencadangkan penyelesaian terhadap isu-isu perubahan iklim yang memberi impak kepada alam sekitar. Penglibatan secara bersepadu dari kalangan agensi kerajaan, pihak swasta/industri dan juga komuniti dalam pelan tindakan yang bakal dibangunkan kelak. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri telah memulakan pelbagai pelan tindakan dan mitigasi yang bersifat proaktif, strategik untuk jangka masa pendek dan panjang yang merangkumi pelbagai sektor.

     

    Di samping penubuhan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor (IKLIMSELANGOR), Kerajaan Negeri tetap konsisten dan komited dalam menganjurkan program-program alam sekitar. Terbaharu, program tahunan Geran Kecil Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Selangor telah dimulakan dari tahun 2018 hingga kini bertujuan memberi bantuan kepada komuniti dalam bentuk pembiayaan kepada program/projek melestarikan alam sekitar dan penggunaan teknologi hijau. Objektif utamanya adalah untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman komuniti mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

     

    Selain itu, seperti tahun-tahun sebelum ini, Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) komited dalam menganjurkan program-program berunsurkan alam sekitar dan teknologi hijau (seperti di Lampiran).

  2. Berapakah peruntukan kewangan di sediakan untuk maksud tersebut?

    Dalam usaha mengukuhkan Selangor sebagai negeri hijau, kita harus membuat persediaan awal dan komited dalam memastikan agenda melestarikan alam sekitar dapat direalisasikan. Justeru itu, pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak 48 juta bagi kesemua inisiatif ke arah mewujudkan persekitaran hijau, meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar serta meluaskan lagi pembangunan lestari di negeri Selangor. Keseluruhan program/ projek alam sekitar ini dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Jabatan/Agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Oleh itu, peruntukan tersebut telah diagihkan kepada pelaksana-pelaksana program setiap tahun berdasarkan kepada permohonan yang dikemukakan.

  3. Sejauh manakah program tersebut telah berjaya?

    Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Selangor telah berjaya meningkatkan tahap kesedaran masyarakat disamping memupuk rasa tanggungjawab dalam memelihara alam sekitar dengan penglibatan secara terus daripada masyarakat. Berdasarkan kajian-kajian sosial yang dijalankan, dapatan mendapati pengetahuan, sikap dan kesedaran terhadap alam sekitar semakin baik dalam masyarakat di negeri Selangor dan perlu diteruskan demi kelestarian alam sekitar.

     

    Peningkatan kes-kes aduan daripada orang ramai berkaitan isu- isu alam sekitar di Negeri Selangor juga mencerminkan keprihatinan dan kesedaran awam terhadap kepentingan memulihara alam sekitar. Ini menunjukkan tahap kesedaran masyarakat semakin tinggi dan secara tidak langsung ianya menuntut tindakan-tindakan penyelesaian segera oleh Kerajaan Negeri.