Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
73) PJD LINK
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Mengapa sehingga kini Kerajaan Negeri Selangor masih belum mengatakan tidak kepada PJD LINK?
Cadangan Projek Petaling Jaya Dispersal Elevated Highway (PJD Link), merupakan cadangan lebuhraya baharu yang bertujuan untuk menyuraikan kesesakan trafik bagi kawasan Bandaraya Petaling Jaya dengan menyediakan sambungan utama kepada semua jalan raya dan lebuhraya sedia ada di sekitarnya. Projek ini melibatkan sambungan (connectivity) kepada enam (6) lebuhraya sedia ada dan akses kepada lima (5) laluan rel utama bagi mencapai objektif untuk menyuraikan trafik. Cadangan ini juga telah mengambil kira sambungan kepada sistem pengangkutan awam serta sesi libat urus yang telah diadakan bersama pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Perjanjian konsesi telah ditandatangani oleh Pihak PJD Link bersama Kerajaan Persekutuan pada 5 April 2022 dengan meletakkan syarat duluan supaya pihak syarikat melaksanakan terlebih dahulu kajian Environment Impact Assessment (EIA), Social Impact Assessment (SIA) dan Traffic Impact Assessment (TIA) sebelum perjanjian ini menjadi efektif dan projek boleh mula dibina. Kerajaan Negeri masih belum boleh memuktamadkan kelulusan PJD Link di peringkat Negeri Selangor kerana sehingga kini masih tiada kajian ke atas EIA, SIA dan TIA oleh pihak PJD Link dan ianya perlu dibentangkan kepada MTES dan disahkan oleh MMKN termasuk penyelesaian perihal tanah.
Terkini pada 9 Februari 2022 Kerajaan Negeri melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor dan Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri ke 6/2022 pada 16 Februari 2022 telah meluluskan dan mengesahkan penerimapakaian Carta Alir Proses Perancangan Pembangunan Lebuhraya dan Infrastruktur Utama di Negeri Selangor. Oleh itu bagi melancarkan proses kelulusan, adalah wajar cadangan PJD Link ini mematuhi Carta Alir Proses Perancangan Pembangunan Lebuhraya dan Infrastruktur Utama di Negeri Selangor tersebut.