Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
71) PELAN PEMBANGUNAN KEMUDAHAN AWAM DAN PENGANGKUTAN AWAM
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Pihak Berkuasa Tempatan dalam Negeri Selangor akan merancangkan untuk menerbitkan pelan utama untuk meningkatkan bilangan dan kapasiti kemudahan awam, selaras dengan piawaian yang ditetapkan dalam Rancangan Negeri Selangor 2035?
- KEPENTINGAN RANCANGAN STRUKTUR SELANGOR (RSN) 2035 DI DALAM MERANCANG KEPERLUAN KEMUDAHAN AWAM.
Dasar RSN Selangor 2035 yang digubal oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui PLANMalaysia@Selangor adalah untuk menyediakan kerangka bagi penyelesaian masalah dan isu-isu yang telah dikenal pasti oleh kajian semula Rancangan Struktur ini. Dasar-dasar ini dijelaskan mengikut teras pembangunan iaitu ke arah pembangunan wilayah bandar berkembang maju, wilayah bandar mampan dan wilayah bandar Makmur. Penggubalan dasar-dasar ini adalah berteraskan kepada Strategi dan Konsep Pembangunan Tertumpu Wilayah Bandar (City Region Development Oriented).
Di dalam bab Dasar-Dasar RSN Selangor 2035, ianya dijelaskan mengikut teras pembangunan dan juga dalam konteks rentas sektor. Penyataan dasar dijelaskan bersama dengan inisiatif pelaksanaan dan agensi pelaksana utama yang akan menjadi garis penduan bagi pelaksanaan dasar tersebut. Dasar-dasar ini juga disokong oleh pelan-pelan cadangan yang berkaitan termasuk Cadangan Pembangunan Kemudahan-Kemudahan Awam.
Di dalam bab Dasar-Dasar RSN Selangor 2035 ini juga, memberi fokus kepada Pengurusan Pertumbuhan Perbandaran Yang Efektif yang mana mempunyai hala tuju yang jelas meliputi aspek-aspek berikut-
- Kawasan Keutamaan Pembangunan Perbandaran;
- Pengawalan Rebakan Bandar;
- Pendekatan bagi Pembangunan Baru;
- Hierarki Bandar dan Pusat Perniagaan;
- Pembangunan Kawasan Perindustrian;
- Pembangunan Petempatan Desa;
- Tanah Rezab Melayu; dan
- Petempatan Orang Asli.
Pengurusan Pertumbuhan Perbandaran Yang Efektif ini diperlukan bagi memastikan pembangunan perbandaran maupun luar bandar berlaku secara sistematik dan mampan, serta tidak menjejaskan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), penggunaan sumber yang tidak boleh diperbaharui secara berhemah dan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Secara tidak langsung secara umumnya di peringkat RSN 2035, unjuran penyediaan kemudahan-kemudahan awam juga adalah seiring dengan keperluan aspek-aspek Pengurusan Pertumbuhan Perbandaran Yang Efektif ini.
KEPENTINGAN RANCANGAN TEMPATAN DI DALAM MERANCANG KEPERLUAN KEMUDAHAN AWAM.
Peringkat kedua dalam penyediaan Rancangan Pemajuan adalah Rancangan Tempatan. Ianya merupakan dokumen yang menterjemahkan serta memperincikan dasar strategik dan dasar umum Rancangan Struktur Negeri. Rancangan Tempatan disediakan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mengandungi suatu peta menunjukkan cadangan pembangunan dan pengagihan gunatanah dengan tepat dan suatu penyataan bertulis yang menerangkan cadangan-cadangan yang disarankan secara ringkas. Rancangan Tempatan disokong oleh garis panduan pelaksanaan yang menerangkan dengan lebih terpeinci segala cadangan-cadangan PBT untuk pemajuan dan penggunaan tanah.
Dari aspek penyediaan kemudahan awam, Rancangan Tempatan berperanan sebagai dokumen yang mengunjurkan keperluan kemudahan awam yang bersesuaian, selaras dengan pertambahan penduduk di dalam sesebuah kawasan PBT tersebut. Antara kemudahan-kemudahan awam yang diambilkira di dalam unjuran keperluan berdasarkan pertambahan penduduk ini adalah, kemudahan pendidikan, kemudahan kesihatan, kemudahan keselamatan, kemudahan keagamaan dan lain-lain kemudahan awam bergantung kepada keperluan bagi sesebuah kawasan PBT tersebut. Kemudahan-kemudahan awam ini juga dicadangkan secara terpeinci mengikut Blok-Blok Perancangan atau Zon-zon Perancangan secara lot base, di dalam sesebuah Rancangan Tempatan dengan menetapkan garis panduan penyediaan mengikut kesesuaian lokaliti kawasan.
KAJIAN KEPERLUAN DAN KESESUAIAN KEMUDAHAN MASYARAKAT DI KAWASAN BERKEPADATAN TINGGI (BANDAR PADAT DAN BERDAYA HUNI)
Dalam menyediakan keperluan kemudahan masyarakat yang lebih komprehensif dan penggunaannya yang lebih optimum di kawasan bandar, Kerajaan Negeri melalui PLANMalaysia@Selangor juga telah menyediakan “Kajian Keperluan dan Kesesuaian Kemudahan Masyarakat di Kawasan Berkepadatan Tinggi (Bandar Padat dan Berdaya Huni)” yang meliputi kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Klang.
Matlamat kajian ini adalah untuk “Mewujudkan Inventori Kemudahan Masyarakat Di Kawasan Zon Promosi Perancangan Bandar Padat Berdaya Huni (ZPP) Di Negeri Selangor Serta Mencadangkan Piawaian Khusus Berkaitan Kemudahan Masyarakat Di Kawasan ZPP”.
Kajian ini juga telah menetapkan enam (6) objektif seperti berikut –
- Mengkaji potensi ZPP dalam kawasan kajian termasuk mengenalpasti sempadan, saiz populasi dan keperluan serta kesesuaian kemudahan masyarakat yang diperlukan.
- Menyediakan inventori kemudahan masyarakat sediada dan komited beserta unjuran keperluan mengikut kawasan ZPP yang dikenalpasti.
- Mengenalpasti isu, penawaran dan permintaan berkaitan kemudahan masyarakat di kawasan ZPP.
- Membuat perbandingan di antara ketersediaan kemudahan masyarakat di kawasan PP berbanding standard piawaian yang ditetapkan.
- Mengenalpasti lokasi tapak-tapak kemudahan masyarakat sedia ada yang masih belum dibangunkan.
- Mencadangkan garis panduan piawaian kemudahan masyarakat khusus dan sesuai bagi kawasan ZPP selaras dengan keperluan dan ketersediaan tanah.
Garis panduan dan inventori kajian Keperluan dan Kesesuaian Kemudahan Masyarakat di Kawasan Berkepadatan Tinggi (Bandar Padat dan Berdaya Huni) ini memberikan pendekatan yang berbeza berbanding garis panduan semasa yang digunapakai, kerana ianya dirangka menjurus ke arah penambahbaikan kualiti sosial dan alam sekitar. Kemudahan-kemudahan masyarakat yang disediakan berdasarkan garis panduan berkepadatan tinggi ini, dapat menjadikan kawasan ZPP lebih berdaya huni dan meriah dengan aktiviti sosial yang mampu memberikan keselesaan kepada penduduk-penduduk kawasan ZPP dan ianya merupakan satu anjakan paradigma yang cuba diterapkan bagi keseluruhan Negeri Selangor.
-
Apakah kesudahan penyerahan "Selangor Transportation Masterplan" kepada Kerajaan Persekutuan?
Untuk makluman Yang Berhormat, “Selangor Transportation Masterplan” (Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor-PIPANS) merupakan supplementary document yang boleh dijadikan sebagai rujukan kepada perancangan-perancangan projek pengangkutan yang melibatkan pelaksanaan di dalam Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri telah mengemukakan cadangan 12 koridor laluan pengangkutan awam yang paling optimum untuk dilaksanakan di Negeri Selangor berdasarkan hasil kajian Pelan Induk tersebut kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bagi Rancangan Malaysia Ke-12. Walau bagaimanapun, hanya satu daripada 12 koridor tersebut yang telah dipertimbangkan untuk dilaksanakan iaitu projek Mass Rapid Transit (MRT) Circle Line atau MRT3 oleh pihak MRT Corp, manakala 11 koridor lagi tidak dipertimbangkan pada masa ini.