Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

55) STATUS MAJLIS DAERAH

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Ahmad Mustain Bin Othman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengapakah daerah Sabak Bernam, satu-satunya daerah dalam Negeri Selangor yang masih berstatus Majlis Daerah ?

    Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bil. 4 Tahun 2008: Kriteria Baru Naik Taraf Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberi penjelasan dan panduan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan PBT berhubung kriteria baharu yang digunakan bagi permohonan naik taraf PBT. Naik taraf PBT adalah selaras dengan peruntukan seksyen 4(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] di mana PBN, dengan berunding dengan Menteri dan PBT, boleh, melalui pemberitahuan dalam warta menukar taraf sesuatu PBT. Antara kriteria baharu naik taraf PBT adalah jumlah penduduk dan jumlah hasil tahunan PBT. Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mempunyai jumlah penduduk seramai 132,000 orang berbanding kriteria minimum Perbandaran seramai 150,000 orang. Selain itu, kutipan hasil tahunan MDSB masih masih rendah berbanding kriteria minimum Perbandaran sebanyak RM20,000,000.00.

  2. Apakah rancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi menukar status Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran?

    Antara rancangan jangka pendek dan jangka panjang adalah seperti berikut:

     

    • membuka peluang kepada pelabur-pelabur luar untuk melabur dan membangunkan daerah Sabak Bernam dengan projek yang berskala besar;

     

    • memperbanyakkan lagi projek-projek perumahan, komersial dan industri di daerah untuk membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dan menambah hasil melalui kutipan cukai pintu;
    • meluaskan lagi zon pembangunan dalam Rancangan Tempatan Daerah supaya tanah-tanah yang berpotensi dapat dibangunkan bagi merancakkan lagi ekonomi daerah;

     

    • menaik taraf kemudahan awam dan kemudahan asas daerah;

     

    • cadangan pembesaran sempadan bandar; dan

     

    • merancang projek-projek strategik daerah seperti:

     

    1. Kompleks AgroPolitan Sabak;
    2. Jambatan kedua Sabak-Hilir Perak; dan
    3. Pusat R&D Asas Tani.

Lampiran

Tiada Lampiran.