Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
53) INFLASI HARGA BARANG
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah yang diambil Kerajaan Negeri untuk rakyat yang berdepan dengan inflasi harga barang di Selangor?
Kerajaan Negeri bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga barangan di pasaran adalah berpatutan.
Antara usaha-usaha yang diambil dan akan dipertingkatkan adalah:
- melaksanakan penguatkuasaan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu:
- penguatkuasaan terhadap pencatutan atau pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 yang mula kuatkuasa pada 6 Jun 2018;
- pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih agresif meliputi seluruh rantaian pengedaran barangan dan perkhidmatan di seluruh negara di bawah Operasi Catut 9.0 bermula pada 7 Januari 2022. Operasi ini telah menggerakkan semua anggota penguatkuasa Kementerian seluruh negeri bagi membendung isu kenaikan harga barang di pasaran;
- pengeluaran Notis bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga yang tidak munasabah bagi mendapatkan maklum balas dan penjelasan secara bertulis atas kenaikan harga barangan tersebut. Sekiranya wujud elemen pencatutan, tindakan perundangan boleh diambil di bawah Seksyen 14, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan;
- penguatkuasaan Perintah Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan 2020 yang mewajibkan peniaga mempamerkan senarai harga barangan dan perkhidmatan atau meletak tanda harga ke atas barangan dan perkhidmatan yang dijual;
- pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bagi mengawal harga barangan keperluan tertentu semasa musim-musim perayaan utama dalam negara;
- penetapan harga maksimum bagi gula pasir putih bertapis, pelitup muka (pembedahan/perubatan), gas petroleum cecair (LPG), petrol Ron95, diesel, tepung gandum (kegunaan am) dan minyak masak (kampit plastik, 1 kg) bagi memastikan harga yang dijual tidak melebihi harga yang ditetapkan. Namun, Kementerian akan memperluaskan kawalan harga ke atas barangan keperluan lain mengikut keadaan dan keperluan.
- mengadakan sesi libat urus untuk memberi penjelasan, khidmat nasihat dan kerjasama bersama peniaga dalam memahami dan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan;
- melaksanakan langkah kolaborasi bersama agensi Kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk memastikan bekalan mencukupi dan ditawarkan pada harga yang munasabah di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara;
- meningkatkan keberadaan (omnipresence) pegawai-pegawai penguatkuasa di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika; dan
- memudahkan rakyat mengemukakan aduan melalui pelbagai saluran sedia ada di Kementerian seperti aplikasi whatsapp KPDNHEP 019-2794317, Portal E-Aduan, aplikasi telefon pintar Ez Adu, talian hotline KPDNHEP 1-800-886-800 dan hadir sendiri ke mana-mana pejabat/cawangan KPDNHEP yang berhampiran.
-
Apakah penambahbaikan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan petani dan penternak yang menghadapi inflasi tidak terjejas?
Bagi membantu golongan petani dan penternak yang menghadapi inflasi tidak terjejas, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah-langkah berikut :-
- Pemberian bantuan dan insentif secara berterusan dengan memberikan penumpuan kepada bantuan bagi mengurangkan kos pengusaha seperti pemberian input-input tanaman seperti benih dan baja dan pemberian makanan ternakan kesan dari peningkatan kos antara 25% hingga 100%; dan
- Menambah lokasi-lokasi jualan secara terus hasil segar melalui Program Agro Prihatin seperti Selangor Agro Market (SAM) dan Program Ehsan pada kadar harga jualan yang lebih baik tetapi masih rendah berbanding jualan kepada orang tengah. Program tersebut secara tidak langsung juga turut membantu golongan orang ramai yang turut terkesan menghadapi inflasi untuk medapatkan harga yang lebih rendah dengan pemberian harga pada kadar diskaun oleh Kerajaan Negeri.
Walau bagaimanapun, dalam keadaan ekonomi pada ketika ini, Kerajaan Negeri cuba sedaya upaya untuk mengurangkan kesan akibat inflasi yang telah mula dirasai oleh semua golongan termasuk petani dan penternak. Di Negeri Selangor terdapat hampir 50,000 pengusaha (telah berdaftar dengan jabatan dan agensi mengikut bidang berkaitan) di sektor pertanian termasuk petani, penternak, nelayan dan pengusaha Industri Asas Tani (IAT) serta penjual hasil pertanian yang terkesan.