Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

38) PEMODENAN PERTANIAN DI ANJUNG UTARA NEGERI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif dan insentif Kerajaan yang telah dilaksanakan untuk pemodenan pertanian tanaman padi, kebun kelapa, kebun kelapa sawit dan tanaman sayur?

    Inisiatif dan insentif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk pemodenan pertanian tanaman padi, kebun kelapa dan tanaman sayuran adalah seperti berikut :-

     

    1. Insentif berbentuk pemberian peralatan dan input-input pertanian seperti baja dan kawalan haiwan perosak. Bagi pengusaha kelapa pula, peruntukan khususnya penanaman semula telah disediakan bagi membantu pengusaha menanam semula kelapa yang lebih berkualiti dan mempunyai hasil yang tinggi.
    2. Inisiatif yang telah dan sedang diambil pula adalah dengan mengenalpasti tahap kesuburan tanah melalui kaedah ujian tanah (soil test). Kaedah tersebut amat penting kerana ianya akan melibatkan penggunaan baja-baja yang bersesuaian dengan profil tersebut. Selain dari itu juga, Kerajaan Negeri telahpun meluluskan projek penanaman benih baka kelapa mataq untuk memenuhi permintaan yang tinggi dan ianya terletak di Sg. Ayer Tawar dengan keluasan lebih kurang 50 ekar. Ianya termasuk juga perancangan untuk penanaman betik bagi tujuan pengeluaran benih dengan penggunaan benih Selangor yang telah dilancarkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor pada 2 Jun 2022 yang telahpun diberi nama Selangor Tropikal Papaya (PTP) dan secara tidak langsung Daerah Sabak Bernam akan menjadi kawasan pengeluaran benih betik PTP pertama di Negeri Selangor.
  2. Berapakah jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan dari 2018-2022?

    Peruntukan yang telah dibelanjakan dari tahun 2018 hingga 2022 secara keseluruhanya berjumlah RM136,725,000 yang merangkumi program dan projek seluruh Negeri Selangor untuk tempoh tersebut. Namun begitu, bagi peruntukan yang melibatkan Pemodenan Pertanian Anjung Utara pula sebanyak RM52,550,979.00 yang merangkumi projek-projek pertanian moden dan insentif berbentuk peralatan dan input-input pertanian.

Lampiran

Tiada Lampiran.