Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

24) STADIUM SHAH ALAM

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan pelaksanaan pembangunan yang dicadangkan dan penyelengaraan stadium oleh syarikat Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) bagi kawasan Stadium Shah Alam.

    Unit Projek Khas

    Sejak 2019 hingga 2021 Kerajaan Negeri telah menerima banyak kertas cadangan daripada pemain industri berkenaan baikpulih/pembangunan semula stadium melalui pelbagai agensi seperti DEFM, MBI dan SUK. Pada tahun 2020 Kerajaan Negeri melalui MBI telah menubuhkan jawatankuasa khas dinamakan sebagai “Unit Projek Khas” (UPK) yang diketuai Datuk Ir. Ruslan bin Abdul Aziz mantan Pengarah JKR Selangor, bagi mengkaji kertas-kertas cadangan tersebut dan pada masa yang sama mengkaji status kerosakan terkini KSSA. UPK juga bertanggungjawab mengkaji bentuk baikpulih yang bersesuaian dengan mengambil kira ancaman banjir, teknologi terkini, sistem utiliti yang lebih efisien, kos efektif dan keperluan pemegang-pemegang taruh seperti MSN, FAS serta Kerajaan Negeri.

    Berdasarkan kertas-kertas kerja yang telah dikaji, beberapa syarikat/konsortium telah disenarai pendek dan beberapa siri pembentangan telah pun dijalankan bagi memastikan proses pemilihan adalah telus dan adil. Hasil penilaian tersebut, UPK dan Kerajaan Negeri berminat untuk menjalankan kerjasama Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam bersama-sama syarikat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB). Kerajaan Negeri telah mengeluarkan Surat Niat kepada MRCB pada 15 Julai 2022 sebagai langkah permulaan kerjasama tersebut. Pemilihan MRCB dibuat berdasarkan beberapa faktor penting seperti pengalaman dalam projek naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil, kedudukan kewangan yang kukuh serta pemilikan saham MRCB oleh KWSP yang sekaligus dapat menyumbang kembali keuntungan kepada pencarum/rakyat.

    Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA)

     

    Pada 15 Julai 2022, Dato’ Seri Menteri Besar Selangor telah mengumumkan garis masa rancangan pembangunan KSSA. Bentuk pembangunan akan dibentangkan pada September 2022 setelah perbincangan dengan semua pemegang taruh yang berkaitan selesai antaranya, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), MBSA, Pejabat Tanah dan Galian(PTG), Selangor FC, DEFM dan Kerajaan Negeri sendiri. Pada peringkat ini, input dari setiap pemegang taruh akan dijadikan komponen kepada pembangunan KSSA bagi memastikan projek ini dapat memberi manfaat kepada pembangunan sukan Selangor, bola sepak Selangor dan komuniti.

     

    Projek pembangunan dijangka akan bermula paka suku pertama 2023 dan siap sepenuhnya pada tahun 2026. Ini bermakna rakyat Selangor akan mendapat kemudahan Kompleks Sukan Shah Alam yang baru menjelang 2026.

  2. Sejauh mana kemampuan syarikat DEFM mampu mengurus fasiliti sukan yang dipertanggungjawabkan?

    Latar Belakang DEFM

    Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) dahulunya dikenali sebagai MSNS Holdings Sdn Bhd merupakan anak syarikat Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) pada asalnya. DEFM berperanan sebagai anak syarikat MSNS yang berpengalaman dalam pengurusan bangunan dan fasiliti sukan milik MSNS pada masa itu. Pada tahun 2009, Menteri Besar Selangor iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim telah membuat penyelarasan dengan memindahkan DEFM untuk menjadi anak syarikat MBI.

    Fasiliti Di Bawah Pengurusan DEFM

    Pada tahun 2012, DEFM telah diberikan mandat oleh MMKN untuk menguruskan Kompleks Generasi Muda dan Sukan(KGMS) Seksyen 7. Sebelum 2012, Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan kos penyelenggaraan hampir RM 2 juta setiap tahun bagi memastikan Kompleks tersebut terus berfungsi. Sejak pengambil alihan pengurusan oleh pihak DEFM, pengurusan fasiliti KGMS dapat dilaksanakan tanpa dana Kerajaan Negeri hasil pengurusan cekap dan pengkomersialan beberapa kemudahan dalam Kompleks tersebut. KGMS kini menjadi hab perkhidmatan Kerajaan Negeri di mana ianya dihuni oleh Yayasan Anak Selangor (YAWAS), Hijrah Selangor dan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS). Selain itu KGMS juga menjadi salah satu pusat aktiviti belia di negeri Selangor.

    Berdasarkan pencapaian ke atas KGMS tersebut, bermula 1 Jan. 2018 DEFM sekali lagi diberi mandat oleh MMKN untuk menguruskan Kompleks Sukan Shah Alam. Ini menjadikan fasiliti di bawah pengurusan DEFM adalah sebanyak 8 fasiliti merangkumi Kompleks Sukan Shah Alam dengan komponen Stadium Shah Alam, Stadium Malawati, Stadium Mini, Pusat Akuatik Darul Ehsan, Extreme Park, Lawn Bowl dan Tapak Parkir Stadium. Untuk makluman, jumlah kos penyelenggaraan Kompleks Sukan Shah Alam dan Kompleks Generasi Muda pada tahun 2021 adalah RM 4,103,752.00.

    Pencapaian DEFM
    Komersial
    Sepanjang 2018 hingga 2020, DEFM berjaya mengkomersilkan fasiliti di bawah pengurusan DEFM. Sebagai contoh, 3 padang sintetik telah diwujudkan dengan kerjasama bersama pemain industri bagi meningkatkan potensi pendapatan fasiliti di bawah seliaan DEFM. 2 buah padang sintetik dibina berdekatan kawasan lapang Stadium Mini dan sebuah padang dibina di dalam perkarangan Kompleks Belia dan Generasi Muda Seksyen 7. Pengkomersilan ini telah menjana pendapatan tambahan sebanyak RM 408,000.00 setahun bagi fasiliti Kerajaan Negeri dan pendapatan ini juga digunakan semula untuk menampung kos penyelenggaraan fasiliti-fasiliti tersebut.
    Bagi pengurusan venue acara pula, pada tahun 2018 hingga 2019 DEFM telah menguruskan sebanyak 40 konsert artis lokal dan internasional, 40% lebih banyak acara berbanding semasa MBSA menguruskan KSSA.
    DEFM juga menguruskan venue acara untuk 1 perlawanan final Piala Malaysia 2018, 2 siri Perlawanan Sultan of Selangor’s Cup, 30 perlawanan bola sepak tempatan dan 6 perlawanan antarabangsa. Ini membuktikan DEFM mampu menguruskan fasiliti KSSA dengan baik dan efisien.

    Penyelenggaraan
    DEFM sentiasa memastikan penyelenggaraan fasiliti KSSA dibuat secara berkala. Ianya merangkumi penyelenggaraan padang, penyelenggaraan mekanikal/elektrikal, penyelenggaraan sivil, pembersihan, perkhidmatan kawalan keselamatan dan baikpulih berskali sederhana dan kecil.
    Isu yang timbul mengatakan DEFM tidak menjalankan pembaikan bumbung adalah tidak tepat kerana tindakan tersebut adalah disebabkan kajian menyeluruh sedang dijalankan oleh Unit Projek Khas bagi mempertimbangkan baikpulih stadium secara total dan berskala besar. Justeru tidak peruntukan diberi untuk kerja-kerja pembaikan bumbung yang telah rosak sehingga tahun 2020. Tambahan pula negara dilanda Pandemik Covid 19 yang menutup semua aktiviti sukan hampir 2 tahun, secara tak langsung penggantian bumbung dilihat bukanlah keutamaan Kerajaan Negeri pada masa itu.

Lampiran

Tiada Lampiran.