Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

18) KENAIKAN KOS SARA HIDUP

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat Selangor yang sedang menghadapi kenaikan kos sara hidup yang tinggi disebabkan peningkatan harga barang-barang keperluan dan perkhidmatan?

    Yang Berhormat sekalian, untuk makluman terdapat beberapa faktor yang menyumbang atau menyebabkan kenaikan harga barang secara mendadak. Antara faktor-faktor bagi kenaikan harga barang adalah:

     

    1. Situasi perubahan harga yang mula dihadapi dalam negara adalah susulan daripada berlakunya kenaikan harga bahan mentah makanan secara global (dunia), kesan ini turut dirasai di dalam negara kita Malaysia, yang mana dapat dilihat berlaku pergerakan harga yang agresif (menunjukkan kenaikan) terhadap barangan dalam kumpulan makanan khususnya.

     

    1. situasi pandemik COVID-19 itu sendiri turut menyumbang kepada kenaikan harga barangan, mahupun makanan kerana terdapat gangguan dalam rantaian bekalan sumber.

     

    • Dalam masa sama, faktor-faktor lain yang turut yang menyumbang kepada pergerakan harga yang agresif seperti:

     

    • Perubahan cuaca dan bencana dalam Negara;
    • Perubahan cuaca dan bencana di Negara pengeluar contohnya China yang menganggu harga sayuran diimport;
    • Kadar/nilai matawang Negara dengan Negara pengeksport;
    • Peningkatan harga bahan import seperti makanan ayam (soya dan jagung);
    • Peningkatan kos pengeluaran dan logistik;
    • Kekurangan tenaga kerja termasuk buruh asing yang menyebabkan berlaku gangguan dalam pengeluaran hasil ladang dan tani; dan
    • Peningkatan harga komoditi di pasaran global (sawit); dan kadar inflasi.

    Dalam usaha menstabilkan kenaikan harga barang keperluan harian, Kerajaan Negeri bekerjasama dan menyokong kempen-kempen seperti Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang dilaksanakan sebanyak enam (6) kali setahun dan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia bagi menetapkan harga maksimum untuk barangan tertentu pada tempoh tertentu. Kerajaan turut melaksanakan Penentuan Harga Maksimum Bagi Ayam Dan Telur Ayam sehingga 31 Ogos 2022 ini bagi memberikan kestabilan harga kepada kedua-dua item penyumbang sumber protein utama penduduk negara ini.

    Antara usaha lain adalah kerajaan melalui KPDNHEP Selangor juga sedang giat melaksanakan Inisiatif bagi mengurangkan kos sara hidup dan beban rakyat Selangor dengan menawarkan barang keperluan harian pada harga lebih murah daripada harga pasaran, murah sehingga 20% lebih rendah di bawah Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di mana melibatkan 22 parlimen dan 56 DUNdi Negeri Selangor.

    Kerajaan Negeri Selangor juga giat mengadakan program/kempen seperti Program Keluarga Cakna Pengguna yang memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat berkaitan pengurusan kewangan yang efektif dalam melakukan urusan urusniaga.

    Kerajaan juga melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sentiasa memantau isu kenaikan harga mendadak yang berlaku melalui pemantauan dan pemeriksaan secara langsung ke atas premis yang mengalami isu tersebut.

    Kerjasama beberapa kementerian juga memainkan peranan dalam memastikan pengeluaran makanan dan barang keperluan lain dijamin bekalan dan stabil harganya. Libat urus berterusan dengan industri, pengeluar, pengimport, pemborong, peruncit, persatuan pengguna dan lain-lain pihak berkaitan, tetap dijalankan dari masa ke semasa tanpa gagal.

  2. Apakah tindakan tegas yang telah diambil terhadap peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikan harga barangan mereka?

    Dari sudut penguatkuasaan pula, mana-mana peniaga yang didapati menaikkan harga barangan secara tidak munasabah boleh diambil tindakan di bawah kesalahan pencatutan, di bawah Akta Kawalan Harga 2011.

    Tidak dapat disangkal, inisiatif prihatin rakyat yang dilaksanakan di Selangor ini menghasilkan impak positif dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat mendapatkan barangan asas pada harga hingga 30 peratus lebih rendah dari pasaran. Inisiatif ini akan terus dinilai keperluan pelaksanaannya dari semasa ke semasa demi melindungi komuniti pengguna dalam cabaran ini

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.