Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

14) KEKURANGAN TENAGA KERJA

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana Kerajaan Negeri membantu untuk menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja dihadapi oleh pelbagai sektor?

    Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk membantu menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja yang dihadapi oleh pelbagai sektor. Antara usaha dan program yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri adalah seperti berikut:

     

    1. Program Selangor Mega Job Fair

    Penganjuran program secara MEGA ini merupakan satu medium yang proaktif untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang dalam membantu syarikat atau industri yang memerlukan tenaga kerja. Program ini telah diadakan selama dua (2) hari iaitu pada 11 dan 12 Jun 2022 bermula jam 9.00 pagi hingga 5.30 petang bertempat di Pusat Konvensyen MBSA. Antara pengisian program sepanjang tempoh program tersebut adalah seperti perkongsian ilmu kerjaya, kaunter penerangan agensi, temu duga terbuka (walk- in interview) oleh pihak majikan.

    Program ini telah melibatkan sebanyak 107 syarikat / majikan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 20,490 peluang pekerjaan yang merangkumi pelbagai sektor dan jawatan ditawarkan kepada pencari kerja. Program ini telah berjaya melibatkan bilangan pencari kerja berdaftar seramai 8,201 orang dengan jumlah yang ditemu duga seramai 3,601 dan seramai 1,996 telah mendapat pekerjaan.

    Selain itu, melalui portal www.selangorjobportal.com.my yang dilancarkan pada 12 Mei 2022, golongan belia yang mencari peluang pekerjaan boleh menyemak kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh majikan-majikan secara real-time dengan mendaftar di portal yang disediakan.

    1. Program Selangor Kerjaya

    Pada masa yang sama dalam usaha membantu pihak majikan atau industri untuk mendapatkan tenaga kerja. Pihak MBI atau Menteri Besar Selangor Pemerbadanan juga telah melaksanakan Program Selangor Kerjaya yang menyediakan peluang pekerjaan eksklusif untuk warga Selangor. Program ini menawarkan peluang pekerjaan melalui pemadanan kerjaya yang berkesan dan pemohon perlu mendaftar dengan melayari laman web www.selangorkerjaya.com.my.

    Kemudahan laman web ini diberi secara percuma kepada majikan yang mahu mengiklankan jawatan kosong. Manakala calon pemohon akan melalui penilaian profil serta pemadanan kerjaya tertakluk kepada pekerjaan yang diiklankan dan pemilihan tersebut akan dilakukan oleh majikan yang berdaftar sebelum penempatan kerja sebenar berlaku. Setelah penempatan kerja berlaku, calon juga boleh mendapatkan latihan-latihan profesional dan akses pembelajaran atas talian.

    1. Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE)

    Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) merupakan satu program kerjasama dengan syarikat-syarikat ‘P-hailing’ seperti GRAB, Food Panda atau DEGO yang bakal memberi peluang pekerjaan di dalam ekonomi gig kepada anak muda di seluruh Selangor. Program ini juga dapat membantu syarikat-syarikat yang memerlukan tenaga kerja di kalangan warga tempatan.

    1. Program Jelajah Jobcare

    Selain itu, Kerajaan Negeri turut berkerjasama dengan PERKESO Selangor untuk menganjurkan Program Jelajah Jobcare. Program ini dilaksanakan di lapan (8) daerah iaitu Klang, Hulu Selangor, Petaling, Sepang, Hulu Selangor, Gombak, Kuala Langat dan Sabak Bernam.

    1. Program Jaminan Kerja Selangor

    Program Jaminan Pekerjaan merupakan satu program berkonsepkan pameran kerjaya dengan kerjasama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA). Program ini difokuskan kepada golongan yang telah kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19.

    1. Program Penempatan Pekerjaan Kerja Selangor

    Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Usahawan dan Peniaga Pusat Beli Belah Selangor khusus untuk membantu bekas-bekas banduan serta pelatih parol untuk mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai agensi yang bersesuaian. Program ini sekaligus dapat mengubah persepsi masyarakat luar terhadap mereka. Sebanyak 15 majikan daripada pelbagai agensi telah terlibat sebagai panel program ini. Peserta terlibat adalah terdiri daripada mereka yang telah menjalani hukuman dalam negeri Selangor dan ianya adalah berdasarkan cadangan daripada Jabatan Penjara Malaysia. Daripada 143 orang peserta, seramai 21 orang telah berjaya ditawarkan pekerjaan.

    1. Program Perantisan dan Penempatan Pekerjaan

    Pihak kerajaan juga bekerjasama dengan syarikat Carsome Academy yang menawarkan program perantisan mekanik automotif dan pengurusan pejabat. Daripada 70 peserta yang menyertai program ini, seramai 38 orang telah berjaya mendapatkan pekerjaan di cawangan Carsome Sdn. Bhd. dengan gaji permulaan RM2,000.00 beserta elaun.

    1. Program Gig Care-1,000

    Program GIG Care-1000 ini adalah program bantuan caruman di bawah skim perlindungan PERKESO kepada 1,000 pekerja gig dalam tempoh setahun seperti FoodPanda, GrabFood, Bungkusit dan Lalamove.

    Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha dalam menyediakan latihan dan kemahiran yang relevan seperti dalam program-program seperti IKTISASS yang dapat membantu menyediakan tenaga kerja mahir di Selangor dan meningkatkan kebolehpasaran belia dan graduan.

  2. Bagaimana isu kekurangan tenaga kerja telah menjejas prestasi pelaburan di dalam Negeri Selangor?

    Secara dasarnya, isu kekurangan pekerja bukan faktor utama yang menjejaskan prestasi pelaburan di dalam Negeri Selangor. Walaupun Negeri Selangor merekodkan nilai pelaburan ke empat tertinggi berbanding negeri – negeri lain di Malaysia pada tahun 2021, tetapi Selangor mencatatkan rekod jumlah kelulusan bilangan projek perkilangan tertinggi berbanding negeri – negeri lain. Ini menunjukkan Selangor masih menjadi destinasi pilihan pelabur di Malaysia.

    Kerajaan Negeri menyedari, isu kekurangan sumber tenaga kerja antara cabaran yang perlu ditangani dalam menarik pelaburan ke Negeri Selangor. Oleh itu, antara langkah – langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Invest Selangor bagi mengekalkan prestasi pelaburan di Negeri Selangor adalah seperti berikut:

    1. Memberi penumpuan kepada usaha – usaha bagi menarik pelaburan dalam industri berasaskan teknologi tinggi (high Tech) atau industri yang berintensifkan modal (capital intensive);

     

    1. Mewujudkan industri yang melibatkan pengeluaran nilai tambah (value added manufacturing); dan

     

    • Mewujudkan industri yang menggunakan sistem automasi dan robotik dalam proses pengeluaran.

Lampiran

Tiada Lampiran.