Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

6) RANCANGAN MENYELESAIKAN ISU KEKURANGAN AYAM

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan status Program Intervensi Harga Makanan Ehsan dan rancangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk menyelesaikan isu kekurangan ayam.

    Program Intervensi Harga Makanan Ehsan telah dilancarkan pada Februari 2022 sebagai usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan akses makanan segar pada harga berpatutan yang mencukupi kepada rakyat Selangor khususnya menjelang musim perayaan.

    Program ini juga beriltizam untuk mengawal harga makanan seperti ayam dan telur dengan menggunakan konsep subsidi, pengurangan sewa dan bantuan logistik kepada rantaian bekalan yang strategik.

    Aktiviti utama yang telah dijalankan sempena program intervensi ini adalah Karnival Jualan Prihatin Rakyat di mana seramai lebih 80,000 penduduk di sekitar negeri Selangor telah mendapat manfaat.

    Menerusi program ini, pelbagai barangan segar seperti ayam, telur ayam, ikan sejuk beku, daging pejal segar dan minyak masak telah dibawa ke 60 lokasi jualan di seluruh negeri.

    Bagi menyelesaikan isu kekurangan ayam pula, PKPS sedang merancang untuk membangunkan sebuah lagi projek ternakan ayam daging iaitu di Ulu Bernam, Hulu Selangor yang dijangka dapat menambah pengeluaran ayam daging sebanyak 300,000 ekor setiap kitaran. Ini menjadikan jumlah pengeluaran ladang ayam PKPS kepada 800,000 ekor ayam setiap kitaran berbanding sebelum ini iaitu 500,000 ekor.

    Untuk rekod, satu kitaran tuaian adalah selama 35 hari dan dalam setahun projek ini mampu menuai ayam sebanyak 6 kali pusingan.

  2. Nyatakan status projek tanaman bijirin di Negeri Sembilan dan Kuala Langat yang dimeterai dengan kerajaan Negeri Sembilan.

    PKPS sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembersihan di tapak projek jagung bijirin di Gemas, Negeri Sembilan seluas 400 ekar dan Kuala Langat Selatan, Selangor seluas 300 ekar dan dijangka selesai pada bulan Ogos depan.

    Selepas itu penanaman akan dimulakan dan dijangka hasil pertama akan dituai pada penghujung tahun ini. Jagung bijirin boleh dituai dalam tempoh 100 hari selepas ditanam.

Lampiran

Tiada Lampiran.