Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

2) KOMITMEN MENJADI NEGARA NEUTRAL KARBON PADA 2050

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah emisi karbon di Negeri Selangor dan apakah perancangan bagi mencapai target pengurangan emisi karbon selaras dengan komitmen Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon seawal 2050?

    Usaha untuk mengekang pemanasan global dan ketidaktentuan perubahan iklim telah dijalankan secara agresif di seluruh dunia termasuk Malaysia. Negeri Selangor turut meletakkan matlamat untuk menjadi negeri rendah karbon dalam usaha mengekang fenomena perubahan iklim dengan mewujudkan pelbagai inisiatif untuk mencapai matlamat tersebut.

     

    Mengenai jumlah emisi karbon di Selangor, buat masa ini, data-data berkenaan masih belum tersedia secara keseluruhannya. Namun begitu, bacaan emisi karbon ini telah dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), yang mana ianya merupakan inisiatif yang digariskan dalam Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) masing-masing. Antara PBT yang telah melaksanakan pengiraan emisi karbon mengikut perbandaran masing-masing adalah seperti berikut:

     

     

    Bil. Pihak Berkuasa

    Tempatan (PBT)

     

    Jumlah Emisi Karbon (tan)

    1. Majlis Bandaraya Shah Alam 749,758.49 CO2
    2. Majlis Bandaraya Petaling Jaya 3,496,000 CO2
    3. Majlis Perbandaran Kajang 244,035.03 CO2
    4. Majlis Perbandaran Sepang 20,231.16 CO2
    5. Majlis Perbandaran Ampang Jaya 2,400,637 CO2
    6. Majlis Perbandaran Kuala Langat 816,347.72 CO2
    7. Majlis Perbandaran Hulu Selangor 3,767.17 CO2

     

    Dalam usaha mencapai matlamat pengurangan karbon sebanyak
    45 peratus seawal tahun 2030, Kerajaan Negeri kini menfokuskan hala tuju negeri kepada tiga (3) program utama yang disarankan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) iaitu, Kecekapan Tenaga (Energy Efficiency-EE), Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy-RE) dan Pengurusan Sisa Pepejal. Usaha-usaha kecekapan tenaga seperti penggunaan peralatan cekap tenaga dan penggunaan amalan pengeluaran bersih oleh industri yang dapat mengurangkan penggunaan tenaga di sektor industri dan komersial akan dilaksanakan. Menjelang tahun 2030, lebih banyak tenaga akan dijana daripada sumber-sumber yang boleh diperbaharui (RE) seperti biojisim, mini hidro, tenaga solar dan biogas.

     

    Dalam hal ini, pelbagai polisi dan perancangan telah disediakan oleh PBT bagi merealisasikan agenda negeri untuk mewujudkan bandaraya rendah karbon dan memastikan kelestarian alam sekitar. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah:

     

    • Pemasangan panel solar di bangunan Kerajaan Negeri termasuklah premis-premis PBT seperti medan selera, sekolah dan dewan awam;
    • Menggalakkan pembangunan Large Scale Solar (LSS) secara besar-besaran di permukaan air (terapung) atau permukaan tanah;
    • Sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal yang menyeluruh merangkumi fasiliti dan kemudahan loji Waste-to-Energy (WTE);
    • Menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik;
    • Program tanam pokok; dan
    • Mengekal dan meningkatkan keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) tidak kurang 30 peratus daripada keluasan tanah negeri.

     

    Kerajaan Negeri sedar dan mengambil serius dalam memastikan jumlah pelepasan karbon di negeri Selangor adalah terkawal.  Sasaran negeri Selangor untuk membantu negara mencapai Net Zero Carbon Emission pada tahun 2050 memerlukan penyertaan daripada semua pemegang taruh emisi karbon yang terdiri daripada PBT, pihak industri dan komuniti.

  2. Apakah persediaan bagi menyambut cukai karbon yang akan diperkenalkan?

    Penetapan dasar berkaitan pasaran karbon di Malaysia sepatutnya dibuat berteraskan mekanisme di peringkat negara, memandangkan Malaysia mempunyai komitmen tertentu dengan Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) yang perlu dicapai.

    Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), selaku “national authority” pembangunan pasaran karbon negara, sedang dalam fasa membangunkan skim perdagangan karbon peringkat domestik (DETS) dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) dan Bursa Malaysia bagi membolehkan harga karbon di pasaran domestik sentiasa berdaya saing serta kompetitif. Sebarang transaksi mesti mematuhi tatacara yang diputuskan oleh KASA, manakala transaksi di peringkat negeri dan swasta mesti dikawal selia supaya pemindahan kredit karbon tidak menjejaskan matlamat menjadikan Malaysia negara yang mencapai sasaran karbon neutral. Ini akan digariskan dalam Dasar Pasaran Karbon Negara dengan mengambil kira mekanisme di bawah Perjanjian Paris yang telah dipersetujui semasa persidangan UNFCCC COP-26 di Glasgow pada tahun 2021.

    Dasar ini penting dalam memastikan tatacara perdagangan karbon mengikut keperluan di peringkat antarabangsa dipatuhi bagi mendapat pengiktirafan, penerimaan dan harga pasaran yang berpatutan. Bursa Malaysia telah diberi mandat untuk membangunkan platform perdagangan karbon peringkat domestik.

    Sehubungan itu, setelah dasar ini siap sepenuhnya, ianya akan dijadikan sebagai rujukan oleh Kerajaan Negeri dalam membuat persediaan untuk terlibat dan mengaplikasikan pasaran karbon dan cukai karbon di peringkat negeri. Kerajaan Negeri juga perlu melaksanakan kajian terperinci dengan mengambil kira pandangan pihak-pihak berkepentingan sebelum melaksanakannya. Kemampuan Kerajaan Negeri turut perlu diambil kira agar pelaksanaannya akan lebih sistematik dan memberi impak yang baik kepada sumber hasil negeri.

    Oleh itu, Kerajaan Negeri bersedia untuk mempertimbangkan urus niaga kredit karbon dilaksanakan di peringkat negeri dengan menggunakan platform perdagangan karbon peringkat domestik di bawah Bursa Malaysia. Kerajaan Negeri juga turut bersedia untuk bekerjasama dengan pihak KASA dan Bursa Malaysia dalam merealisasikan pasaran karbon di Malaysia, khususnya di Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.