Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
183) KEDUDUKAN EKONOMI SELANGOR PASCA BANJIR
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimana Kerajaan Negeri mampu mengeluarkan jumlah peruntukan yang besar bagi menjalankan kerja-kerja pemulihan pasca banjir dan bantuan kepada mangsa banjir?
Untuk makluman Yang Berhormat Lembah Jaya, Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sejumlah besar dana bagi menjalankan kerja-kerja pemulihan pasca banjir dan bantuan kepada mangsa banjir melalui pelan perancangan berikut:
- Kerajaan Negeri telah merumuskan perancangan untuk membuat perbekalan tambahan perbelanjaan mengurus berdasarkan unjuran yang diperlukan sebanyak RM150 juta bagi menampung perbelanjaan inisiatif Bantuan Selangor Bangkit (BSB). Perkara ini dapat dilaksanakan melalui penggunaan lebihan rizab Akaun Hasil Disatukan Negeri yang terkumpul hasil daripada peningkatan kutipan hasil negeri dan strategi kawalan perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang berhemah.
- Kerajaan Negeri juga menyelaras penggunaan peruntukan MARRIS tahun 2022 berjumlah RM 490 juta bagi tujuan kerja-kerja pembaikan jalan/cerun yang terjejas akibat banjir serta turut memohon pengecualian daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi menggunakan peruntukan tersebut secara optimum
- Bagi tujuan kerja-kerja kritikal pasca banjir, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor mengguna pakai Akaun Amanah Caruman Parit bagi membaiki saluran yang rosak di kawasan-kawasan yang terlibat banjir dengan kos berjumlah RM9.18juta yang melibatkan 14 buah projek.
- Di samping itu juga, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Tabung Amanah Ikhtiar Selangor Bangkit yang turut menerima sumbangan daripada orang persendirian, syarikat korporat/swasta, anak-anak syarikat Kerajaan Negeri dan lain-lain bagi memberi bantuan segera kepada mangsa banjir di Selangor. Sehingga 28 Februari 2022 kutipan Tabung Amanah Ikhtiar Selangor adalah berjumlah RM4,330,934.00.