Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

176) NAIKTARAF TEMPAT PELANCONGAN

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Harumaini Bin Haji Omar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha-usaha Kerajaan Negeri dalam menaiktaraf tempat-tempat perkelahan dan pelancongan seperti membaikpulih jalan bagi memudahkan orang ramai untuk berkunjung?

    Kerajaan Negeri sentiasa peka dan prihatin dalam memastikan kemudahan pelancongan berada dalam keadaan baik demi kepentingan para pengunjung yang datang berkunjung ke lokasi- lokasi pelancongan di Negeri Selangor.

    Bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.35 juta di bawah Peruntukan Pembangunan bagi tujuan menaiktaraf produk pelancongan. Meskipun peruntukan sebanyak RM1.35 juta dilihat kecil, namun penyelarasan bersama PBT dan agensi teknikal yang terlibat juga turut dilaksanakan dalam memastikan kemudahan-kemudahan di tempat-tempat pelancongan diselenggarakan dengan baik serta dapat dimanfaatkan oleh para pengunjung di samping meningkatkan imej kawasan pelancongan berkenaan.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan projek-projek menaik taraf produk pelancongan berdasarkan kepada keperluan dan keutamaan semasa serta bergantung pada permohonan daripada jabatan-jabatan/ agensi teknikal yang bertanggungjawab menguruskan produk pelancongan tersebut. Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan maklum balas serta cadangan daripada pihak PBT dan agensi teknikal serta penggiat pelancongan yang boleh dipertimbangkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri turut menggalakkan penglibatan pihak NGO dan korporat di dalam kerjasama membangunkan kemudahan-kemudahan di tempat-tempat pelancongan di Negeri Selangor. Usaha-usaha yang dilaksanakan ini bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan Kerajaan Negeri malah ia meningkatkan kesedaran tanggungjawab orang ramai di dalam menjaga dan memelihara infrastruktur serta kebersihan kawasan-kawasan pelancongan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.