Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
141) KUTIPAN SAMPAH
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah mekanime pungutan sampah yang dilaksanakan oleh PBT agar ianya dapat dipungut mengikut jadual?
Bermula pada 1 Januari 2020, kerja-kerja kutipan sampah domestik dijalankan oleh pihak KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM), manakala pembersihan kawasan pula bermula pada pada 1 Julai 2020. KDEBWM telah menetapkan satu jadual kekerapan kutipan yang seragam untuk kemudahan penduduk seperti yang berikut:
Kerja-kerja pemantauan pematuhan jadual kerja dilaksanakan setiap hari oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak KDEBWM juga telah disyaratkan untuk setiap lori kutipan sampah domestik dipasang alat pengesan iaitu Auto Vehicle Locating System (AVLS) atau Global Positioning System (GPS) bagi memastikan pungutan sampah dilakukan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Sistem aduan turut disediakan sebagai medium penyampaian aduan orang awam bagi memastikan kerja-kerja kutipan dijalankan mengikut jadual.
Sekiranya KDEBWM gagal mengikut jadual kutipan yang telah ditetapkan, PBT akan mengeluarkan Notis Tindakan Pembetulan (NTP) yang melibatkan penalti dan pemotongan bayaran pada kadar tertentu yang berbeza mengikut PBT. KDEBWM juga akan diarahkan untuk menyediakan pasukan sokongan (back-up team) bagi memastikan kutipan diselesaikan mengikut jadual yang sepatutnya
-
Bagaimanakah proses pungutan sampah yang dilakukan di kawasan kampung tradisional di kawasan PBT?
Kutipan sampah di kampung tradisi dilaksanakan dengan menggunakan lori kompaktor yang membuat kutipan di pusat-pusat tong yang diletakkan di jalan utama. Jadual kekerapan kutipan di kampung tradisi yang dilaksanakan oleh KDEBWM adalah seperti yang berikut:
Bagi Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), proses pungutan sampah yang dilakukan di kawasan kampung tradisi adalah secara berpusat (bin point) dan jadual kekerapannya adalah tiga (3) kali seminggu bagi sampah domestik dan satu kali seminggu bagi sampah pukal.
-
Apakah tindakan yang dilakukan PBT kepada pihak-pihak yang membuang sampah-sampah dan sisa-sisa buangan di merata-rata tempat dan sekiranya tidak dibanteras, ianya akan mengakibatkan pandangan yang tidak baik terhadap PBT?
PBT sentiasa menjalankan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak yang membuang sampah merata-rata dengan mendapatkan bukti yang mencukupi serta pemantauan berkala bagi mencegah aktiviti pembuangan sampah yang tidak terkawal atau berulang.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah:
i. operasi bersepadu bersama agensi (Pejabat Daerah/ Tanah, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, KDEBWM dan Worldwide Holdings Berhad) di lokasi sampah haram;
ii. penutupan tapak sampah haram dengan tali pita;
iii. menaikkan papan tanda larangan membuang sampah; dan
iv. melaksanakan program insentif kepada pengadu yang memberikan informasi berkaitan pembuangan sampah haram di kawasan PBT.
Selain daripada itu, sebagai langkah pencegahan, PBT turut memasang Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) di tempat sampah haram yang menjadi hot spot bagi memantau kenderaan pihak yang membuang sampah.
Individu / syarikat yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah di tempat awam akan dikenakan tindakan undang-undang selaras dengan Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah – Sarap PBT 2007, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.