Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

140) LESEN HIBURAN

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah lesen hiburan yang telah diluluskan sepanjang tahun 2019 - 2021 mengikut PBT di Selangor?

    Soalan  (a) dan (b) akan dijawab bersekali.

    Selaras dengan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 (Pindaan 2001) pengeluaran lesen bagi pusat hiburan adalah di bawah kawalan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai Pihak Berkuasa Melesen yang diberi kuasa. PBT diberi kuasa secara bertulis dan berhak dalam membuat sebarang keputusan berkaitan prosedur lesen operasi dan penguatkuasaan.

    Selain daripada itu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut terlibat dalam proses pengeluaran sesuatu lesen berkaitan dengan pusat hiburan. Ini kerana, dalam menentukan tatacara dan peraturan yang perlu diguna pakai bagi mengawal dan mengendalikan aktiviti berkaitan pusat hiburan PBT memerlukan kerjasama daripada semua Jabatan/ Agensi teknikal. Antara Jabatan/ Agensi teknikal lain yang terlibat adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) dan Pejabat Tanah dan Daerah (permit sekiranya menjual liquor).

    Sepanjang tahun 2019 hingga 2021, secara keseluruhannya sebanyak 1,721 lesen hiburan telah diluluskan di negeri Selangor iaitu 697 pada tahun 2019, 589 pada tahun 2020 dan 435 pada tahun 2021 seperti pecahan mengikut PBT dalam Jadual 1 di bawah:

    Jadual 1: Jumlah Lesen Hiburan Yang Diuluskan di Setiap PBTTahun 2019 hingga 2021

    Dari segi kawalan terhadap operasi pusat hiburan pula, Kerajaan Negeri melalui PBT sentiasa proaktif dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan secara berkala dan bersepadu melibatkan jabatan/ agensi mengikut bidang kuasa masing-masing seperti berikut:

    • PDRM;
    • Jabatan Imigresen Malaysia;
    • Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK);
    • Jabatan Kastam DiRaja Malaysia;
    • Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS); dan
    • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

    Sepanjang tahun 2019 hingga 2021, pihak PBT telah mengeluarkan sebanyak 364 kompaun atas pelbagai kesalahan, manakala sejumlah 2,351 barangan juga telah disita dan dirampas semasa operasi penguatkuasaan tersebut dijalankan di pusat-pusat hiburan di seluruh negeri Selangor di bawah Enakmen Hiburan yang sedang berkuat kuasa iaitu:

    i Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995;

    ii. Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 (Pindaan 1998);

    iii. Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 (Pindaan 2001);

    iv. Peraturan-Peraturan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor) 1996;

    v. Undang-Undang Kecil Iklan (PBT) 2007; dan

    vi. Dasar dan Garis Panduan Pemberian Lesen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Di Kawasan Pentadbiran Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan Di Negeri Selangor – Surat Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) PBT KT Bil. 3/2001.

    Premis-premis yang terlibat dengan tindakan penguatkuasaan ini terdiri daripada premis-premis perniagaan seperti:

    i. Kafe & Lounge;

    ii. Pusat Snooker;

    iii. Pusat Karaoke;

    iv. Pusat Hiburan Keluarga;

    v. Taman Tema; dan

    vi. Pusat Permainan PS4.

  2. Berapakah jumlah kompaun/ rampasan yang telah dilakukan sepanjang tahun 2019 - 2021, premis yang menyalahi peraturan Enakmen Hiburan mengikut PBT?

Lampiran

Tiada Lampiran.