Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

137) PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Luar Bandar

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah program-program dan langkah Kerajaan Negeri untuk memajukan kawasan luar bandar secara menyeluruh?

    Kerajaan Negeri sentiasa melihat keperluan pembangunan kawasan luar bandar secara menyeluruh sebagai salah satu agenda utama kerajaan melalui program-program yang telah dirancang dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi selaras dengan negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang maju dan berkebajikan. Program-program yang dirancang dan yang telah dilaksanakan pula bukan hanya fokus kepada pembangunan fizikal kawasan luar bandar bahkan turut melihat pembangunan aspek sosial dan ekonomi sebagai satu keutamaan.

    Di dalam usaha untuk mencapai pembangunan aspek sosial dan kemasyarakatan di kawasan luar bandar secara menyeluruh, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta untuk tahun 2022 kepada Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi bagi tujuan penganjuran pelbagai aktiviti dan program yang meliputi pelbagai aspek.

    Antara program-program yang dirancang di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar adalah seperti berikut:

    1. Program Pembangunan Sosial & Kemasyarakatan

    Program Pembangunan Sosial & Kemasyarakatan merupakan program yang dirancang atau dirangka untuk memberi fokus kepada pembangunan sosial seperti pendidikan, jati diri, pembentukan masyarakat muafakat dan sebagainya. Antara aktiviti dan program yang dirancang adalah seperti program Jom Membaca dan Kita Rewang Sekampung.

    1. Program Penjenamaan dan Pembudayaan Kampung

    Aktiviti dan program yang dirancang atau dirangka di dalam program ini adalah bertujuan untuk memberi penekanan kepada pembangunan kampung secara penjenamaan dan pembudayaan yang tidak langsung memberi manfaat dari aspek pendedahan ekonomi serta semangat cintakan kampung tradisi. Antara program yang dirancang adalah program Kita Ke Kampung, Kita Kan Sekampung, Kita Ke Kampung Kraf tangan, Majlis Apresiasi Kampung Tradisi, Sambutan Hari Raya dan sebagainya.

    1. Program Keselamatan dan Kesihatan Penduduk Kampung

    Program ini dirangka dan dirancang bertujuan untuk memberi penekanan kepada aspek mempromosi keselamatan dan cara hidup serta kesihatan yang baik kepada penduduk dan sekitarnya seperti program Gotong-royong Perdana, Sunathon Perdana, Merentas Desa, Aktiviti Kejohanan Sukan, Kempen Anti Dadah dan beberapa lagi.

    1. Program Pemantapan Kepimpinan Kampung

    Program Pemantapan Kepimpinan Kampung dirangka dan dirancang untuk memberi fokus kepada peningkatan kemahiran pengurusan kampung supaya lebih baik dan efektif bukan sahaja kepada Pengerusi Kampung Tradisi bahkan kepada biro-biro dan juga Penghulu Mukim. Turut diberi penekanan adalah kepada aspek pembangunan sahsiah, imej dan protokol kerajaan.

    1. Program Industri Komuniti Kampung Tradisi

    Program yang dirancang dan dirangka di bawah program Industri Komuniti Kampung Tradisi adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dan peluang kepada pengusaha IKS khusus di kalangan komuniti kampung. Antara program yang dirancang adalah program Produk Kampung 4U.

    1. Program Ekonomi Identiti Kampung Tradisi

    Program ini memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi kepada pengusaha baru dan sedia ada yang menjalankan pengusahaan berasaskan identiti kampung seperti perusahaan makanan tradisional, pembuatan kraf tangan, dan pertanian melalui peluang dan pendedahan di dalam penganjuran bazar atau karnival.

    1. Program Peningkatan Kemahiran Kampung

    Program ini memberi peluang kepada penduduk kampung yang telah mempunyai perusahaan atau perniagaan sendiri untuk meningkatkan kemahiran bagi tujuan meningkatkan taraf ekonomi melalui latihan-latihan yang diberikan serta pemantauan oleh agensi yang dilantik. Turut diberi peluang adalah kepada penduduk kampung yang mencari peluang pekerjaan melalui latihan-latihan kemahiran sama ada di kalangan ibu tunggal mahupun anak muda yang menganggur. Antara program yang dirancang adalah program Kursus Kemahiran Usahawan Kampung Selangor

  2. Secara perbandingan, berapakah nisbah bajet yang diperuntukkan untuk pembangunan kawasan luar bandar berbanding kawasan PBT-PBT?

    Berdasarkan Belanjawan Tahun 2022, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM31.23 juta untuk tujuan pembangunan kawasan luar bandar meliputi sektor pertanian dan industri asas tani, penternakan, infrastruktur asas desa, jalan luar bandar dan pembangunan ekonomi kg tradisi. Manakala peruntukan sebanyak RM39.97 juta telah disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk pembangunan kawasan PBT meliputi aspek pengangkutan awam, pengurusan sisa pepejal, pemuliharaan tapak pelupusan sampah dan pembangunan kampung baru

Lampiran

Tiada Lampiran.