Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
135) RANCANGAN PERTANIAN & PERIKANAN SABAK BERNAM
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk membangunkan industri pertanian dan perikanan di Daerah Sabak Bernam?
Daerah Sabak Bernam merupakan sebuah daerah yang banyak berteraskan kepada sektor pertanian sebagai sumber ekonomi utama. Di atas dasar tersebut, Kerajaan Negeri bersama-sama dengan jabatan dan agensi yang berkaitan dengan sektor pertanian telahpun memulakan dan sedang melaksanakan program-program yang terarah kepada sektor pertanian. Daerah Sabak Bernam yang juga merupakan kawasan tanaman padi yang luas sedang melaksanakan projek-projek kajian untuk meningkatkan hasil padi bersama dengan Jabatan Pertanian Negeri Selangor dan IADA Barat Laut Selangor. Kajian dan projek pilot bertujuan khusus untuk mengenalpasti tahap kesuburan tanah di samping jenis input-input pertanian yang sesuai digunakan bagi meningkatkan tahap kesuburan tanah di satu-satu kawasan. Selain dari itu, Program Smart Selangor Agro Park (SSAP) dan Smart Selangor Agro Farm (SSAF) sedang berada di peringkat akhir untuk pelaksanaan. Apabila ianya telah selesai proses kelulusan tanah kelak, Program Smart Selangor Agro Park, Sg. Air Tawar atau SSAP@Sg.AirTawar akan menjadi sebuah kawasan pengeluaran hasil pertanian makanan secara bersepadu terbesar di Daerah Sabak Bernam. Di tapak tersebut juga secara dasarnya Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk diwujudkan sebagai kawasan pengeluaran benih kelapa mataq dan ianya sedang diperingkat akhir perancangan serta dijangka akan mula dilaksanakan pada tahun ini juga. Dari segi perikanan pula, golongan nelayan sejak dari dahulu lagi telah disediakan peruntukan khusus untuk membantu mereka terutamanya dari segi bantuan peralatan menangkap ikan. Selain dari itu juga, Kerajaan Negeri telahpun menurunkan tukun-tukun tiruandi perairan Sabak Bernam bagi meningkatkan penangkan hasil laut di kalangan nelayan dan pada tahun ini juga Kerajaan Negeri telahpun meluluskan peruntukan berjumlah RM300,000.00 bagi menurunkan unjam yang menggunakan teknologi dari SIRIM serta Jabatan Perikanan Negeri Selangor pula akan menurunkan tambahan tukun-tukun tiruan. Secara keseluruhannya pula, di bawah Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Sabak Bernam pula telahpun merancang untuk melaksanakan projek-projek yang menjurus kepada peningkatan ekonomi secara holistik tetapi dalam masa yang sama penekanan peringkat awal diberikan kepada pembangunan disektor pertanian termasuk cadangan untuk menyiapkan pusat pengumpulan ikan.