Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

121) KILANG HARAM

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah terkini kilang haram yang masih beroperasi mengikut PBT?

    Berdasarkan Data Laporan Kemajuan Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran Negeri Selangor serta bancian yang telah dibuat pada tahun 2020 oleh Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sehingga bulan Januari 2022, jumlah terkini kilang haram iaitu Kilang Tanpa Kebenaran (KTK) adalah berjumlah 6,905 di seluruh negeri Selangor. Daripada jumlah tersebut, ada di antara KTK tersebut telah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang (KM), lulus Pelan Bangunan (PB), mendapat Certificate of Fitness (CF)/ Certificate of Completion and Compliance (CCC) dan ada juga telah diberi lesen perniagaan daripada pihak PBT. Pecahan maklumat mengikut kawasan PBT adalah dalam Jadual 1 berikut:

    BIL. PBT JUMLAH TERKINI KILANG HARAM
    1. MBSA 2,391
    2. MBPJ 19
    3. MBSJ 226
    4. MPKj 460
    5. MPS 1543
    6. MPK 1,155
    7. MPAJ 300
    8. MPSp 137
    9. MPKL 291
    10. MPKS 257
    11. MPHS 102
    12. MDSB 24
    JUMLAH 6,905

    Jadual 1: Jumlah Kilang Haram Mengikut Kawasan PBT

    *Sumber: Semua PBT Negeri Selangor

  2. Berapakah anggaran kerugian Kerajaan Negeri akibat kewujudan kilang haram tersebut?

    Secara asasnya tiada data spesifik yang boleh dirujuk berhubung anggaran kerugian yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri akibat kewujudan KTK di Selangor. Memandangkan maksud istilah kerugian adalah subjektif, beberapa faktor kuantitatif dan kualitatif boleh diambil kira dalam mengenal pasti anggaran kerugian tersebut seperti yang berikut:

    i. Faktor Kuantitatif

    Sehingga bulan Januari 2022, pihak Kerajaan Negeri telah berjaya memungut hasil kutipan (permit khas dan premium tambahan) sebanyak RM125,433,315.45 melalui pelaksanaan program pemutihan KTK di Negeri Selangor. Jumlah tersebut merangkumi 191 permohonan tukar kategori dan syarat nyata tanah yang telah diluluskan daripada 391 permohonan yang telah diterima oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) sedangkan jumlah senarai inventori KTK ialah 5,386 lot tanah atau 6,576 buah kilang yang telah dibanci dan disenaraikan oleh PBT. Ini bermakna hanya lebih kurang 7.26 peratus pemilik daripada jumlah lot tanah dalam senarai inventori KTK yang telah mengemukakan permohonan sepanjang program pemutihan KTK berlangsung. Sekiranya kesemua KTK yang berada dalam senarai inventori mengemukakan permohonan tukar syarat nyata tanah daripada pertanian/kediaman kepada industri, jumlah cukai dan premium yang boleh dikutip oleh pihak Kerajaan Negeri adalah lebih tinggi.

    Pada masa yang sama, anggaran kerugian juga akan menjadi lebih besar jika dilihat daripada aspek kadar cukai yang sepatutnya dibayar oleh pemilik tanah yang menjalankan aktiviti industri tetapi masih berada di atas tanah yang berstatus pertanian ataupun kediaman. Secara purata, kebanyakan KTK yang diusahakan oleh pemilik-pemilik tanah yang terlibat telah dibina di atas lot-lot tanah yang berkeluasan kurang daripada 2 hektar. Kiraan asas bagi syarat tanah perindustrian (Status Kawasan Pekan) adalah sebanyak RM63.30 semeter persegi, manakala kadar cukai bagi tanah yang masih lagi berstatus pertanian adalah sebanyak RM55.20 semeter persegi. Perbezaan antara kedua-dua jenis kadar cukai tanah tersebut yang dianggarkan berjumlah RM8.10 semeter persegi merupakan satu nilai yang besar jika dibandingkan dengan jumlah lot tanah yang tersenarai dalam inventori KTK. Walau bagaimanapun, jumlah-jumlah kadar ini adalah berbeza mengikut daerah dan jenis taraf sesuatu kawasan tersebut. Contoh yang dikemukakan ini merujuk kepada kawasan tanah bertaraf Pekan yang berada di dalam Daerah Klang berdasarkan Pindaan Cukai Tanah 2017. Anggaran jumlah keseluruhan kerugian berkaitan hanya boleh dikira berdasarkan taraf kawasan, kadar cukai dan keluasan tanah yang terlibat.

    ii. Faktor Kualitatif

    Kerugian yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri juga boleh dikaitkan secara tidak langsung daripada segi aspek-aspek bukan berbentuk kewangan akibat daripada kewujudan KTK ini. Salah satu contoh utama ialah kegagalan kebanyakan pemilik KTK dalam mematuhi syarat teknikal minima yang dikenakan terhadap mereka bagi memenuhi piawaian sesebuah bangunan boleh mendorong berlakunya masalah-masalah seperti pencemaran udara, bunyi, air dan sebagainya. Masalah pencemaran sungai di negeri ini kerap berlaku terutamanya di kawasan-kawasan sungai yang menjadi sumber air untuk diproses dan disalurkan kepada penduduk di bandar dan juga luar bandar. Masalah ini adalah disebabkan oleh kegagalan pihak pengusaha kilang dalam mematuhi syarat dan spesifikasi yang dikenakan terhadap mereka sehinggakan sisa yang dikeluarkan daripada kilang tersebut terus mengalir masuk ke sungai dan mengakibatkan masalah pencemaran sungai. Perkara ini tidak hanya merugikan pihak Kerajaan Negeri malah ianya lebih buruk kerana rakyat terpaksa menghadapi masalah kekurangan bekalan air bersih untuk digunakan dalam kehidupan harian mereka.

    Kewujudan KTK turut mengganggu rancangan pembangunan sesuatu kawasan. Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] telah memperuntukkan keperluan penyediaan sistem rancangan pemajuan sebagai pelan pembangunan bagi sesebuah kawasan pemajuan, sama ada di peringkat negeri, daerah mahupun kawasan-kawasan khas. Rancangan pemajuan ini terdiri daripada Rancangan Struktur Negeri (RSN), Rancangan Tempatan Daerah (RTD) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK). Pelan-pelan ini berfungsi untuk merancang, mengawal serta memandu arah pembangunan di dalam sesuatu kawasan pemajuan tersebut. Setiap sektor perancangan, termasuklah sektor perindustrian hendaklah dihurai dan diperincikan selaras dengan keadaan semasa, unjuran serta cadangan untuk membangunkan sektor berkenaan pada masa hadapan.

    Namun begitu, pertumbuhan kilang-kilang tanpa kebenaran ini sedikit sebanyak telah mengganggu dan mencacatkan pelan pembangunan di sesuatu kawasan dan menyebabkan sebilangan PBT terpaksa menyemak dan meminda semula kawasan-kawasan yang telah dicadang dan dirancang terlebih dahulu untuk tujuan pembangunan akan datang selain daripada perindustrian. Sekiranya pertumbuhan atau pengoperasian KTK tidak dikawal dengan rapi, ianya mampu mendatangkan kerugian yang besar kepada Kerajaan Negeri dan juga rakyat. Contohnya, proses penaiktarafan dan pelebaran jalan di sesuatu kawasan sukar dijalankan kerana pemilik tanah tersebut telah mengusahakan KTK melebihi kawasan yang sepatutnya atau pun telah memasuki rizab-rizab yang perlu diperuntukkan sebagai mematuhi syarat teknikal yang ditetapkan oleh jabatan/agensi teknikal. Oleh yang demikian, proses penaiktarafan ini akan mengambil masa yang lama dan menelan belanja yang tinggi berbanding peruntukan kewangan yang telah dipersetujui pada awalnya.

  3. Apakah status pemutihan kilang-kilang haram sehingga terkini?

    Program Pemutihan KTK di Negeri Selangor telah tamat pada 31 Disember 2020. Setakat Januari 2022, pihak Kerajaan Negeri telah berjaya memungut hasil kutipan (permit khas dan premium tambahan) sebanyak RM125,433,315.45 melalui pelaksanaan program ini. Jumlah tersebut merangkumi 191 permohonan tukar kategori dan syarat nyata tanah yang telah diluluskan daripada 391 permohonan yang telah diterima oleh PDT. Jumlah senarai inventori KTK ialah 5,386 lot tanah atau 6,576 buah kilang yang telah dibanci dan disenaraikan oleh PBT.

    Pihak Kerajaan Negeri berpandangan dan berpendapat bahawa tindakan penguatkuasaan sangat mustahak untuk dilaksanakan memandangkan program ini telah lama dijalankan bermula dari tahun 2006 sehingga tahun 2020. Pelaksanaan tindakan penguatkuasaan akan dapat memastikan pemilik-pemilik tanah atau pengusaha kilang yang berada dalam senarai inventori KTK mengemukakan permohonan tukar kategori dan syarat tanah daripada pertanian/kediaman kepada industri, atau mematuhi syarat nyata tanah yang dikenakan terhadap mereka. Berdasarkan beberapa siri mesyuarat berkaitan yang telah diadakan, pihak Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berfasa iaitu bermula dengan KTK yang dibina berhampiran dengan sungai dan KTK yang dibina di atas tanah kerajaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.