Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

96) MEMASTIKAN KELESTARIAN SUMBER AIR

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Meminta Kerajaan Negeri Selangor mengesahkan apakah benar terdapat mendapan lumpur dan pasir dalam beberapa anak sungai yang airnya masuk ke tasik tadahan utama juga bukti mendapan telah berlaku dengan meluas dasar empangan Klang Gates.

    Empangan Klang Gates merupakan empangan yang bertindak secara dwifungsi iaitu bagi tujuan bekalan air dan tebatan banjir. Anggaran luas kawasan tadahan Empangan Klang Gates ialah 75.6km2 dengan mempunyai keluasan takungan empangan seluas 2.03km2. Keupayaan kapasiti takungannya adalah 25.34 juta meter padu (Mm3 ). Berdasarkan pemantauan pihak LUAS, terdapat faktor yang berkemungkinan menyumbang kepada sedimen di aliran anak sungai iaitu daripada aliran air permukaan dan kejadian gelinciran tanah semulajadi di kawasan Permatang Bukit Sempadan Negeri Selangor – Pahang akibat daripada hujan lebat pada 17 hingga 20 Disember 2021 di kawasan tadahan Empangan Klang Gates. Siasatan juga mendapati terdapat pembentukan aliran alur dari kawasan gelinciran memasuki ke kawasan tadahan Sungai Batang Kelang sehingga Sungai Seleh seterusnya ke kawasan Empangan Klang Gate. Walau bagaimanapun kualiti air di kawasan takungan Empangan Klang Gates dalam keadaan baik dan dapat membekalkan air kepada Loji Rawatan Air Wangsa Maju. Inisiatif Kerajaan Negeri melalui LUAS juga telah menjalankan Kajian Kerja-Kerja Ukur Bagi Cadangan Kajian Hitungan Kuantiti Air Empangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Kaedah Ukur Hidrografi Berkejituan Tinggi’ secara berfasa iaitu Fasa 1&2 2015; Fasa 3&4 2016; dan Fasa 5&6 bagi menilai kapasiti tujuh(7) empangan di negeri Selangor. Tujuh (7) empangan yang terlibat di dalam kajian tersebut adalah; Empangan Tasik Subang, Empangan Klang Gates, Empangan Batu, Empangan Semenyih, Empangan Langat, Empangan Sg. Selangor dan Empangan Sg. Tinggi. Berdasarkan kajian tersebut mendapati kapasiti Empangan Klang Gate pada paras 95.22 meter (pada paras 100% takungan) adalah masih mengekalkan kapasiti efektif bagi tujuan bekalan air. Berdasarkan analisa Kajian tersebut mendapati peratusan mendapan yang terdapat di dalam Empangan Klang Gate adalah secara purata 2-3% peratus sahaja daripada kapasiti rekabentuk empangan dan tidak memberikan kesan signifikan kepada takungan air empangan

Lampiran

Tiada Lampiran.