Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

31) PERUNTUKAN UNTUK MEMBERDAYAKAN PUSAT WANITA BERDAYA

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi memupuk semangat perniagaan IKS dalam kalangan warga ibu, khususnya ibu tunggal?

    1. Untuk makluman Yang Berhormat Sentosa, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai insentif dan bantuan bagi memastikan golongan ibu tunggal mampu menjana ekonomi untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka. Di antara tindakan Kerajaan Negeri melalui pelbagai insentif dan bantuan yang disediakan adalah seperti berikut :

     

    1. Bantuan ‘BluePrint’ kemiskinan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah dengan memberikan bantuan berupa peralatan seperti mesin jahit, mesin uli tepung, oven gas dan lain-lain peralatan untuk membantu mereka memulakan perniagaan agar mampu berdaya maju dan berpotensi untuk berkembang.

     

    1. Latihan Usahawan IT (SITEC) menawarkan program kelas e-dagang percuma untuk mempelajari dan meningkatkan pemahaman daripada peringkat asas kepada peringkat tertinggi dalam perniagaan secara dalam talian atau             e-dagang.

     

    1. Program Skim Hijrah Selangor yang menawarkan pembiayaan berupa sistem pengeluaran modal dan modal tambahan yang mudah, cepat dan tidak membebankan penjaja dan peniaga kecil.

     

    1. Dana Usahawan Mikro Selangor yang membantu usahawan-usahawan mikro di Selangor meningkatkan hasil jualan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju melalui pelbagai program latihan keusahawanan.

     

    1. Menerusi Pusat Wanita Berdaya di setiap DUN, pelbagai usaha memberdaya golongan ibu tunggal telah dilaksanakan dengan menjalankan program-program berbentuk kemahiran seperti program masakan, pembuatan kraftangan, jejak usahawan, keterampilan diri wanita dan lain-lain program yang dijalankan oleh Penyelia PWB di DUN masing-masing yang tidak hanya tertumpu kepada golongan ibu tunggal tetapi turut melibatkan penyertaan wanita komuniti setempat. Selain daripada itu, melalui program berbentuk pembangunan kapasiti, terdapat modul yang dijalankan bagi memupuk semangat perniagaan dan keusahawanan antaranya seperti berikut :

     

    1. Modul Keusahawanan
      • Memberi pendedahan mengenai apakah itu keusahawanan dan tujuan seseorang menjadi usahawan.
      • Menyampaikan pengetahuan asas memulakan perniagaan yang merangkumi aspek berikut:
    2. Tujuan perniagaan dan pemilikan perniagaan;
    3. Trend semasa dalam perniagaan;
    4. Organisasi perniagaan; dan
    5. Kertas kerja projek.
      • Memperkasakan peserta untuk menghadapi dunia keusahawanan dan perniagaan yang mencabar.

     

    1. Modul Asas Pelaburan
      • Memberi pemahaman tentang kuasa pengkompaunan (power of compounding) dan bagaimana ia membantu mengumpul kekayaan melalui pelaburan.
      • Mengenalpasti jenis-jenis pelaburan dan membuat penilaian prestasi pelaburan.
      • Peserta mampu membezakan pelaburan sah dan tidak sah.

     

    • Modul Pengurusan Kewangan Peribadi Dan Keluarga
      • Memberi pengetahuan pengurusan kewangan yang merangkumi aspek berikut:
    1. Pengurusan aliran tunai dan bajet;
    2. Kepentingan pelaburan;
    3. Asas meminjam; dan
    4. Pengurusan hutang.

     

    Program 2 Year Exit menerusi Bantuan Geran Pelancaran (BGP) oleh JKMN Selangor adalah merupakan bantuan sekaligus dengan kadar maksimum RM2,700.00 yang diberikan kepada klien JKMN Selangor yang mempunyai minat dan potensi untuk maju dengan menceburi bidang ekonomi. Bantuan ini  juga membolehkan klien Jabatan terutama penerima bantuan di kalangan ibu tunggal menjadi lebih produktif dan berusaha ke arah hidup berdikari serta meningkatkan taraf hidup mereka. Dari tahun 2016 hingga 2021 seramai 276 orang ibu tunggal telah menerima manfaat BGP ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.