Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

29) PENYELESAIAN TANAH RUNTUH DAN RETAKAN TANAH DUN RAWANG

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan perkembangan penyelesaian isu tanah runtuh di Rawang Perdana 1, Rawang Perdana 5, Emerald East.

    Bagi kes tanah runtuh di Rawang Perdana 1, status tanah yang terlibat adalah tanah Kerajaan. Pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah melaksanakan pemasangan tarpaulin sheet bagi kerja-kerja kecemasan pada 27 Januari 2021. Kerja-kerja pembaikan kekal/ jangka panjang bagi kawasan Rawang Perdana 1 dilaksanakan bersekali dengan projek pembaikan cerun Jalan Sepakat, Kampung Melayu Batu 16 menggunakan peruntukan sebanyak RM3,262,000.00 yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri. Pihak MPS telah melantik kontraktor dan kerja-kerja pembaikan di tapak telah dimulakan dan dijadualkan siap pada bulan Mei 2022. Bagi kes hakisan tanah di Rawang Perdana 5, status tanah adalah tanah hak milik. Namun begitu, pihak MPS telah mengambil tindakan segera dengan memasang tarpaulin sheet bagi kerja-kerja kecemasan pada 27 Januari 2022. MPS juga telah melakukan kerja-kerja pembersihan di sepanjang jalan kawasan perumahan yang terkesan dengan banjir lumpur. Bagi pembaikan jangka masa panjang atau kekal, pembaikan perlu dilaksanakan sendiri oleh pemilik tanah. Oleh itu, Pejabat Daerah Dan Tanah Gombak dan MPS telah mengeluarkan notis kepada pemilik-pemilik tanah untuk membuat pemulihan dan pembaikan jangka panjang ke atas cerun di atas tanah milik mereka. Pemilik tanah juga telah diminta supaya mengadakan perjumpaan dengan Unit Cerun, Jabatan Kejuruteraan, MPS untuk berbincang berhubung cadangan pembaikan kekal yang perlu dilakukan bagi mengelak hakisan tanah berulang. Bagi kes retakan tanah di Emerald East, status tanah yang terlibat adalah tanah Kerajaan. Pihak MPS telah melaksanakan pemasangan tarpaulin sheet bagi kerja-kerja kecemasan pada 27 Januari 2021. Kerja-kerja pembaikan kekal akan dimulakan oleh MPS setelah permohonan peruntukan sebanyak RM4.8 juta diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

  2. Nyatakan perkembangan penyelesaian isu retakan tanah di Jalan Bersatu 20, Taman Bersatu

    Bagi perkembangan penyelesaian isu retakan tanah di Jalan Bersatu 20, pihak MPS telah menyediakan anggaran kos pembaikan infrastruktur dan pembentungan bagi tujuan permohonan peruntukan daripada Kerajaan Negeri. Satu mesyuarat bersama agensi-agensi teknikal akan diadakan bagi memuktamadkan kos sebelum diangkat ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.