Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

16) JUMLAH KEMALANGAN JALANRAYA DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah kemalangan jalanraya berdasarkan kategori kenderaan dari tahun 2020 sehingga 2021 mengikut daerah?

    Tahun 2021

    Tahun 2020

     

  2. Apakah faktor utama yang menyumbang terhadap kemalangan jalanraya di negeri ini?

    Untuk makluman YB, berdasarkan hasil kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah mendapati bahawa terdapat tiga (3) faktor utama yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya, iaitu Sikap (80%), Jalan Raya (13%) dan Kenderaan (7%).

    Pertama, faktor SIKAP yang menyumbang kepada 80% kepada punca kemalangan jalan raya, di mana pengguna jalan raya yang tidak memiliki corak pemanduan yang berhemah dan gagal mematuhi undang-undang/peraturan lalu lintas, termasuk tujuh (7) jenis kesalahan utama  iaitu :-

    1. Pemanduan melebihi had laju yang ditetapkan;
    2. Gagal mematuhi tanda lampu isyarat (merah);
    3. Memotong di garisan kembar (Potong barisan);
    4. Menggunakan telefon bimbit semasa memandu;
    5. Tidak memakai tali pinggang keledar keselamatan;
    6. Memandu di lorong kanan secara berterusan (melibatkan kenderaan barangan)’ dan
    7. Memandu di lorong kecemasan

    Seterusnya, faktor Jalan Raya yang menyumbang 13% kepada kemalangan jalan raya, yang mana melibatkan keadaan fizikal dan struktur jalan raya dan perabot jalan yang kurang selamat sperti jalan raya yang berlubang, lampu jalan yang rosak dan lain-lain.

    Dan akhirnya, faktor Kenderaan yang menyumbang 7% sebagai faktor kemalangan jalan raya ini. Faktor kenderaan ini merujuk kepada keadaan kenderaan yang kurang mampan seperti seperti lampu kenderaan rosak, tayar yang kurang sempurna (corak bunga tayar haus) dan lain-lain lagi.

  3. Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kadar kemalangan jalanraya di Negeri Selangor?

    Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor telah melaksanakan inisiatif “3E” iaitu Education (Pendidikan), Engineering (Kejuruteraan) dan Enforcement (Penguatkuasaan) dalam membantu Kerajaan Negeri dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Negeri Selangor ini. Antara langkah-langkah 3E yang diaplikasikan oleh Jabatan ini adalah seperti berikut :

    i) Mempergiatkan lagi usaha dan strategi advokasi keselamatan jalan raya agar strategi yang dilaksanakan memberi kesan langsung kepada semua pengguna jalan raya;

    ii) Menyebar luaskan lagi mesej berbentuk peringatan, amaran, nasihat dan menanam mentaliti kelas pertama kepada semua pengguna jalan raya;

    iii) Membuat analisa data (Big Data), bancian, kajian dan perancangan supaya setiap strategi untuk mengurangkan kadar kemalangan yang digunakan berkesan;

    iv) Melaksanakan pelbagai program/kempen/latihan di semua peringkat umur pengguna jalan raya daripada kanak-kanak sehinggalah warga emas dan dilaksanakan secara bersepadu oleh pelbagai agensi;

    v) Sentiasa menitikberatkan isu-isu keselamatan kenderaan samada kenderaan persendirian/perkhidmatan barangan mahupun perkhidmatan awam, yang mana mengutamakan hal teknikal kenderaan;

    vi) Memastikan jalan raya di negeri Selangor selamat digunakan dan penguatkuasaan akan mengambil tindakan yang serius terhadap kenderaan yang membawa lebih muatan yang menyebabkan kerosakan jalan raya;

    vii) Melaksanakan Operasi Rutin, Operasi Berfokus, Operasi Bersepadu dan lain – lain operasi berdasarkan dapatan maklumat bagi data yang diperolehi;

    viii) Menaiktaraf teknologi dan peralatan penguatkuasaan yang terkini dari semasa ke semasa bagi melancarkan aktiviti penguatkuasaan yang lebih cekap dan berkesan ke arah melahirkan pemandu yang patuh kepada undang-undang jalan raya; dan

    ix) Melaksanakan pelbagai kaedah operasi bagi mengesan dan mencegah kesalahan jalan raya merangkumi aktiviti penguatkuasaan secara berfokus, penyamaran, risikan dan penggunaan Enforcement Action Camera EAC (merakam kesalahan pesalah jalan raya menggunakan kamera).

    Selain itu juga, JPJ Negeri Selangor pada tahun 2021 telah melaksanakan 175 program advokasi keselamatan jalan raya dalam meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya termasuk penunggang motosikal, penunggang basikal, pejalan kaki, pemandu kereta, kenderaan berat dan juga kenderaan perkhidmatan awam. Program-program keselamatan jalan raya ini juga tidak hanya mensasarkan pengguna jalan raya malahan turut diterapkan di institusi-institusi pendidikan yang melibatkan pra-sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Lampiran

Tiada Lampiran.