Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

256) PENYERTAAN ANAK MUDA DALAM STRUKTUR MPKK

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha kerajaan untuk memupuk minat anak muda untuk menjadikan ahli jawatankuasa MPKK?

    Seperti kita sedia maklum, terdapat 1 jawatan Setiausaha MPKK dan 10 Biro ditawarkan kepada setiap MPKK tidak termasuk jawatan Pengerusi MPKK. Biro-biro di setiap MPKK merangkumi Biro Pembangunan Prasarana, Biro Keselamatan dan Kesihatan, Biro Pengurusan Kewangan, Biro Ekonomi dan Keusahawanan, Biro Kesejahteraan dan Keceriaan, Biro Pendidikan dan Inovasi, Biro Pemantapan Spiritual (Agama), Biro Kebajikan dan Sukarelawan, Biro Belia, Sukan dan NGO,

    Biro Informasi dan Komunikasi (ICT) dan Biro Hal Ehwal Wanita dan Keluarga.

    Setiap Biro menggambarkan keperluan di dalam pengurusan sesuatu organisasi di mana setiap lapisan umur dan masyarakat akan mendapat manfaat sepenuhnya jika ia dirancang dan dilaksanakan dengan baik. Buat masa ini, Kerajaan Negeri tidak meletakkan sebarang kriteria khusus termasuklah dari aspek umur bagi pelantikan Setiausaha dan Biro-biro MPKK memandangkan ia adalah di bawah persetujuan dan lantikan Pengerusi MPKK bagi memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk memilih pasukan yang difikirkan terbaik untuk menguruskan sesebuah MPKK.

    Kerajaan Negeri juga tidak menyimpan data berkenaan senarai Biro-biro memandangkan setiausaha dan biro yang dilantik ini dipilih oleh Pengerusi MPKK sendiri. Namun, setiap Pengerusi MPKK yang dilantik perlulah memainkan peranan untuk memastikan Biro-biro yang dipilih hendaklah meliputi pelbagai peringkat umur dan latar belakang bersesuaian dengan tanggungjawab Biro tersebut.

    Walau bagaimanapun, hasil pemerhatian kasar oleh Kerajaan Negeri melalui Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah mendapati majoriti Biro Sukan dan NGO serta Biro Informasi dan Komunikasi (ICT) di setiap MPKK didominasi oleh belia muda di bawah 40 tahun.

  2. Berapa peratusan AJK di bawah umur 40 tahun dalam struktur MPKK di seluruh negeri?

    Jawapan adalah sama seperti di atas (a)

Lampiran

Tiada Lampiran.