Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

254) PENCERAMAH PARTI POLITIK DI MASJID DAN SURAU

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah punca penceramah parti politik masih lagi dijemput oleh pihak masjid dan surau?

    Secara umumnya pihak masjid mengetahui bahawa masjid perlu menjadi institusi yang aman dan tidak terlibat dengan politik kepartian. Namun ada beberapa situasi telah menyebabkan beberapa buah masjid dan surau dilihat menjemput penceramah di kalangan orang politik. Perkara -perkara tersebut adalah seperti berikut :-

    1. Pentadbir masjid atau surau yang dilihat cenderung kepada satu-satu parti politik. Oleh itu, penceramah yang dijemput turut dikaitkan dengan satu-satu parti politik.

    2. Penceramah dilihat cenderung berdasarkan kedudukannya dalam parti-parti politik secara politik kepartian. Dengan demikian, pihak masjid turut dikaitkan dengan mana-mana parti politik.

    3. Soalan-soalan yang dibangkitkan oleh jemaah yang cenderung untuk melihat pendirian penceramah dalam satu-satu isu atau isu semasa. Oleh itu, masjid yang menjemput turut dikaitkan dengan kecenderungan satu-satu parti tertentu.

    4. Pihak masjid menjemput penceramah tanpa mengetahui latar belakang politik mereka dan akhirnya timbul isu pihak masjid dikaitkan dengan menjemput orang politik untuk mengajar atau menyampaikan ceramah.

  2. Berapa banyak kes-kes pelanggaran arahan DYMM Sultan oleh masjid dan surau di Selangor?

    Tiada aduan berkaitan individu yang ditamatkan masih mengajar dan berceramah diterima setelah titah DYMM Sultan Selangor dan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Tauliah Bil. 1/2021 pada 15 Disember 2021 untuk menarik balik Tauliah Mengajar individu yang terlibat dengan parti politik dibuat

    Manakala aduan-aduan yang diterima terhadap individu yang terlibat dengan politik dan masih belum ditentukan status Tauliah Mengajar mereka akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tauliah yang terdekat. Sehubungan itu, tindakan susulan menarik balik Tauliah Mengajar atas sebab-sebab tertentu demi memelihara kesucian Agama Islam dan mengelak perpecahan di kalangan masyarakat Islam akan diteruskan selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor kepada MAIS bertarikh 18 Februari 2022 berhubung dengan Tauliah Mengajar.

  3. Tindakan apakah yang telah diambil ke atas pengurusan masjid yang telah melanggar arahan ini?

    Belum ada apa-apa tindakan yang dibuat kerana tidak berlaku kes pelanggaran arahan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.