Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

251) BANJIR BESAR DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri sebelum, semasa dan selepas bencana banjir?

    Sebelum berlakunya bencana banjir, Kerajaan Negeri Selangor melalui JPS akan membuat hebahan melalui laman web Infobanjir JPS yang merangkumi maklumat status paras air sungai, taburan hujan dan kamera pemantauan status banjir. JPS juga membuat hebahan amaran banjir melalui media sosial seperti ‘Facebook’.

    Semasa berlakunya bencana banjir, JPS akan menjalankan aktiviti seperti berikut:-

    (i) Pemantauan paras air dan bacaan taburan hujan.
    (ii) Mengemaskini dan menghantar laporan banjir kepada Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor / Smart Selangor Operation Centre (SSOC).
    (iii) Pemasangan pam bergerak.

    Manakala selepas berlakunya bencana banjir, JPS akan menjalankan aktviti seperti berikut:-

    (i) Memantau dan mengenalpasti kerosakan aset Jabatan.
    (ii) Pelaksanaan Kerja Kecemasan dan Darurat.
    (iii) Aktiviti pembersihan.
    (iv) Aktiviti Pemulihan serta Post Mortem Pasca Banjir. Maklumat tambahan seperti di Lampiran B.

  2. Apakah peranan yang telah dimainkan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah?

    Untuk makluman YB, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bertanggungjawab melaksanakan dasar, strategi, dan arahan, pelan tindakan, dan hala tuju dalam mengendalikan sesuatu bencana di peringkat daerah. JPBD berperanan menyelaraskan segala bentuk bantuan sebelum, semasa, dan selepas bencana. Peranan yang berkesan dalam memantapkan sistem amaran awal bencana kepada orang ramai turut menjadi fokus JPBD. Dalam masa yang sama, JPBD akan memobilisasikan gerak tindak agensi responder seperti PDRM, JBPM, APM, serta agensi-agensi berkaitan.

  3. Bagaimanakah penyelarasan yang telah dilakukan dengan sukarelawan dan NGO di dalam menghadapi bencana banjir yang lalu?

    Pusat Koordinasi Sukarelawan Selangor ( PKSS ) yang ditempatkan di Dewan Raja Muda Musa kompleks Generasi Muda dan Sukan Seksyen 7 Shah Alam telah dijadikan lokasi berpusat bagi membolehkan mana-mana sukarelawan yang ingin memberikan khidmat tenaga kerja untuk terus hadir ke lokasi tersebut. Pihak sekteriat akan menyusun atur pergerakan ke lokasi banjir berdasarkan permohonan yang diterima daripada mangsa melalui talian hotline. Setiap gerak kerja semua sukarelawan yang melalui pengurusan PKSS akan menyediakan pengangkutan, baju SERVE, kelengkapan dan alatan pembersihan. Manakala pasukan sukarelawan / NGO luar yang ingin mengatur gerak dari lokasi masing-masing juga boleh berbuat demikian, namun perlu memaklumkan kepada pihak sekteriat tentang lokasi / lokaliti / kawasan / daerah mana bantuan yang ingin disalurkan untuk mengelakan pertindihan jumlah ataupun berlakunya bilangan sukarelawan yang terlalu ramai disesuatu tempat.

Lampiran

Tiada Lampiran.