Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
244) PERPUSTAKAAN KUALA LANGAT DI BANTING
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Memandangkan kerja-kerja naik taraf telahpun hampir siap, bilakah ianya akan dibuka semula kepada orang awam?
Perpustakaan Awam Selangor @ Daerah Kuala Langat atau dikenali sebagai Perpustakaan Sultan Abdul Samad telah mula dinaiktaraf pada 8 Mac 2019. Perpustakaan ini telah siap sepenuhnya pada 15 Januari 2022 dan majlis penyerahan projek tersebut telah diadakan pada 10 Februari 2022 dan dihadiri oleh Pengarah JKR Selangor dan Pengarah PPAS.
Perpustakaan ini sedang dalam proses melengkapkan perabot dan dijangka selesai sepenuhnya pada 10 April 2022. PPAS bercadang untuk membuka semula perkhidmatan perpustakaan ini kepada orang awam pada Isnin, 25 April 2022. Gambar semasa majlis penyerahan tersebut adalah seperti berikut :
-
Bagaimanakah perpustakaan ini selepas naik taraf akan memainkan peranannya sebagai gedung ilmu untuk mendekatkan buku dengan masyarakat pelbagai kaum?
Perpustakaan ini telah dinaiktaraf dengan gaya moden kontemporari dan konsep rekabentuk susunatur dalaman terbuka (open concept) yang mencetuskan persekitaran yang lebih santai dan mesra (welcoming). Sebagai contoh :
1. Susunan rak buku diletakkan di dinding untuk mewujudkan suasana yang lebih luas, dalam masa yang sama memudahkan pemantauan perpustakaan.
2. Mewujudkan fasiliti tambahan seperti dewan, bilik mesyuarat dan bilik perbincangan yang dapat digunakan oleh masyarakat pelbagai lapisan dengan kadar harga minimum.
3. Pemilihan perabot yang ringkas dan minimalis, bagi menimbulkan rasa selesa.Apabila konsep berubah, masyarakat akan lebih merasa teruja untuk datang dan menggunakan fasiliti yang disediakan. Pewujudan fasiliti ini adalah bagi memberi peluang kepada masyarakat pelbagai latar belakang untuk merasai sendiri kemudahan baharu yang kini boleh didapati di perpustakaan. Antara kelainan dan tarikan baharu yang disediakan di perpustakaan ini adalah :
1. Gelongsor daripada aras 1 (satu) untuk turun ke aras bawah bagi memudahkan mobiliti dan jalan pintas turun ke lobi utama.
2. Kafetaria di dalam perpustakaan –menyajikan hidangan kafe dengan konsep yang moden dengan harga mampu milik.
3. Fasiliti bilik kedap bunyi bersaiz kecil dan besar untuk dinikmati oleh masyarakat bagi pelbagai acara.
4. Tambahan kepada koleksi perpustakaan sedia ada yang merangkumi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, dan Bahasa Tamil, PPAS juga dalam perancangan untuk tambahan koleksi dalam bahasa lain yang dikategorikan sebagai bahasa utama oleh United Nation.Hasrat PPAS adalah perpustakaan dapat berfungsi sebagai “one stop centre” yang menyediakan pelbagai fasiliti di bawah satu bumbung dan memudahkan masyarakat.
Bagi meneruskan fungsi perpustakaan sebagai sebuah gedung ilmu, pelbagai program dan aktiviti dirancang sepanjang tahun bagi menarik minat masyarakat untuk mengunjungi perpustakaan. Program-program ini dirangka mengikut pelbagai peringkat umur dengan penglibatan pelbagai agensi serta menyokong ekosistem pendidikan Selangor, merangkumi Pembelajaran Awal Kanak-kanak, Pembelajaran Peringkat Remaja dan Belia, serta Pembelajaran
Sepanjang Hayat. Seterusnya, peranan media massa khususnya media sosial dan media cetak penting bagi mempromosi perpustakaan ini kepada masyarakat umum.