Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
241) DANA INFRASTRUKTUR
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kerajaan Negeri telah memperuntukkan bajet tertentu bagi melaksanakan kerja-kerja naiktaraf infrastruktur di setiap DUN. Nyatakan jumlah bajet tersebut secara terpeinci dan senarai pihak yang bertanggungjawab di kawasan DUN Barisan Nasional.
Pelaksanaan kerja – kerja naiktaraf infrastruktur di setiap DUN di Negeri Selangor secara amnya melalui peruntukan Kerajaan Negeri dilaksanakan oleh beberapa agensi teknikal iaitu JKR, JPS, JAIS, PBT dan Pejabat Daerah/Tanah berdasarkan bidang kuasa masing – masing. Pemilihan
projek – projek untuk diluluskan ini tidak dipilih berdasarkan mana – mana DUN atau Daerah tetapi bergantung kepada penilaian teknikal dan keperluan untuk sesuatu projek dilaksanakan. Secara keseluruhannya RM288.09 juta diperuntukkan untuk tujuan infrastruktur pada tahun 2022 iaitu RM138.13 juta telah diperuntukkan kepada JKR Negeri Selangor, RM57.95 juta kepada JPS Negeri Selangor, RM76.72 juta kepada JAIS dan RM15.29 juta kepada UPEN bagi tujuan infrastruktur asas desa, sukan dan projek khas negeri.Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyalurkan peruntukan perkhidmatan masyarakat berjumlah RM69.89 juta peruntukan perkhidmatan masyarakat kepada 56 Ahli Dewan Negeri dan 22 Ahli Parlimen. Setiap Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen dibenarkan menggunakan 30% daripada peruntukan Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen yang diterima untuk digunakan untuk tujuan pelaksanaan projek kecil dan infrastruktur asas. Walaubagaimanapun pada tahun 2021, penggunaan 30% peruntukan untuk tujuan projek kecil telah diberi kelonggaran untuk digunakan bagi tujuan Sumbangan Kemasyarakatan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memberi bantuan kebajikan kepada rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bagi Kawasan DUN Barisan Nasional, mekanisme pelaksanaan projek turut
menggunakan kaedah yang sama iaitu setiap projek yang dicadangkan adalah melalui jabatan teknikal seperti yang telah dinyatakan iaitu melalui JKR, JPS, JAIS, PBT dan Pejabat Daerah/Tanah. Manakala projek – projek kecil di setiap DUN dilaksanakan melalui peruntukan Ahli Dewan
Negeri dan Penyelaras Dewan Negeri yang telah dilantik. -
Bagaimanakah mekanisme pihak bertanggungjawab untuk melaksanakan projek-projek tersebut?
Mekanisme penentuan pemilihan projek – projek infrastruktur yang dilaksanakan oleh jabatan teknikal iaitu JKR, JPS, JAIS, PBT dan Pejabat Daerah/Tanah adalah bergantung kepada penilaian teknikal dan keutamaan sesuatu projek untuk dilaksanakan. Senarai projek untuk dilaksanakan adalah melalui cadangan agensi – agensi teknikal peringkat Daerah seperti JKR Daerah JPS Daerah. Seterusnya Ibu Pejabat jabatan berkenaan akan membuat permohonan ke Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dan akan disaring mengikut keutamaan untuk tujuan kelulusan Belanjawan Tahunan. Manakala untuk tujuan proses pelantikan kontraktor dan pelaksanaan projek adalah berdasarkan tatacara perolehan dan kewangan kerajaan yang berkuatkuasa.
Manakala projek – projek kecil dan infrastruktur asas yang menggunakan
peruntukan perkhidmatan masyarakat Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen adalah tertakluk kepada Surat Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 1 Tahun 2021 (Garis Panduan Penggunaan Peruntukan Ahli Parlimen Negeri Selangor) dan Surat Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor Bilangan 2 Tahun 2021 (Garis Panduan Penggunaan Peruntukan AMMKN dan Ahli Dewan Negeri Selangor). Peruntukan ini disalurkan oleh Kerajaan Negeri kepada setiap Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen melalui Pejabat Daerah/Tanah. Proses lantikan kontraktor dan pelaksanaan projek adalah tidak melebihi RM50,000.00 bagi setiap projek dan hendaklah melalui Pejabat Daerah/Tanah. Kerja – kerja hendaklah dilaksanakan oleh kontraktor kelas G1 yang berdaftar dengan UPEN tertakluk kepada proses perolehan dan tatacara kewangan kerajaan yang berkuatkuasa.