Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
177) TAPAK PEMBUANGAN SAMPAH HARAM
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah tapak pembuangan sampah haram yang telah dikenalpasti oleh kerajaan?
Jumlah tapak pembuangan sampah haram yang telah dikenal pasti oleh PBT Negeri Selangor pada masa ini adalah sebanyak 182 buah tapak manakala tapak sampah haram yang berjaya dipulihkan adalah sebanyak 103 buah tapak. Pecahan mengikut PBT adalah seperti berikut:
-
Berapakah jumlah tapak pembuangan sampah haram yang telah berjaya dipulihkan?
Jawapan adalah dijawab bersekali dengan (a)
-
Apakah tindakan undang-undang yang telah diambil oleh kerajaan?
Antara undang-undang yang berkuat kuasa dan digunakan oleh PBT ialah—
i) Notis & Kompaun – Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] yang berkaitan dengan apa-apa kacau ganggu antaranya seperti Seksyen 69 iaitu melakukan kacau ganggu dalam anak sungai dan sebagainya di mana “Seseorang yang melakukan sesuatu kacau ganggu atau meletakkan apa-apa kekotoran dalam atau di atas tebing mana-mana anak sungai, saluran, parit awam atau lain-lain alur air dalam kawasan pihak berkuasa tempatan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan didenda tambahan tidak melebihi lima ratus ringgit bagi setiap satu hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.”
ii) Notis & Kompaun – Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan, Pembuangan & Pelupusan Sampah Sarap 2007 di bawah Peruntukan 4 iaitu “Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil ini yang baginya tiada penalti diperuntukkan dengan nyata boleh apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan dalam hal sesuatu kesalahan yang berterusan boleh sebagai tambahan didenda tidak melebihi dua ratus ringgit bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan.”
iii) Penyitaan – Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan & Pelupusan Sampah Sarap 2007 di bawah Peruntukan 21 (1) iaitu “Mana-mana pegawai diberi kuasa boleh menyita atau mengalihkan apa-apa barang atau benda yang menyalahi Undang-Undang Kecil ini dengan risiko ditanggung oleh pemunya.”
Antara contoh tindakan yang telah diambil oleh PBT pada tahun 2021 bagi kesalahan membuang sampah di tempat awam dan selaras dengan tindakan penguatkuasaan di bawah UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan 2007 adalah seperti yang berikut:
i) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah mengeluarkan 58 kompaun, 17 notis peringatan dan 5 sitaan kenderaan kepada individu / syarikat;
ii) Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) telah mengeluarkan 38 kompaun dan 17 sitaan kenderaan;
iii) Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah mengeluarkan sebanyak 170 kompaun dan 1 sitaan kenderaan; dan
iv) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah mengeluarkan sebanyak 188 kompaun dan 63 sitaan kenderaan.