Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
174) KEBENARAN PERKAHWINAN BAWAH UMUR
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Selepas pelaksanaan pindaan menaikkan had umur perkahwinan, berapakah jumlah permohonan yang diterima termasuk diluluskan dan ditolak?
Statistik permohonan Kebenaran Nikah Bawah Umur adalah seperti di Lampiran A.
-
Apakah kriteria utama yang dinilai untuk sesuatu permohonan itu boleh diluluskan?
Kriteria utama yang dinilai untuk sesuatu permohonan itu diluluskan ialah berdasarkan kepada kehendak yang diperuntukkan di dalam seksyen 8A Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2018 iaitu :
(1) Keutamaan kepada kebajikan lelaki atau perempuan yang berumur kurang daripada lapan belas tahun itu dengan memastikan kesediaan pihak-pihak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu termasuklah kemampuan lelaki tersebut untuk memberi nafkah kepada bakal isterinya dan sama ada lelaki atau perempuan itu bersetuju atau tidak terhadap perkahwinan tersebut.
(2) Perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu berdasarkan kepada :
i. Perkahwinan yang dicadangkan, tidak akan menyebabkan kemudaratan kepada lelaki atau perempuan berdasarkan kepada tahap kesihatan mental, fizikal, psikologi dan reproduktif dengan mengambil kira laporan kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Daerah.
ii. Mengambil kira latar belakang sosio-ekonomi lelaki atau perempuan berdasarkan laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
iii. Pernah disabitkan dengan apa-apa kesalahan jenayah atau tidak berdasarkan kepada laporan rekod jenayah lelaki atau perempuan oleh pihak Polis Diraja Malaysia.