Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
155) CADANGAN TERAKHIR PEMBANGUNAN KG FAJAR
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apa pendirian Kerajaan Negeri terhadap cadangan rakyat yang mahukan ADUN Hulu Kelang menerajui satu Task-Force bagi pembangunan Kg Fajar tanpa sebarang bayaran?
Sehingga kini Kerajaan Negeri masih belum menerima sebarang cadangan petisyen mahupun memorandum berhubung cadangan pelantikan ADUN Hulu Kelang sebagai peneraju Task Force pembangunan Kg. Fajar. Namun begitu, beberapa strategi telah dirangkumkan di dalam usaha Kerajaan Negeri berhubung cadangan pembangunan Kg. Fajar.
Cadangan pembangunan bagi keseluruhan tanah yang terlibat adalah seluas 18.65 ekar, seperti berikut;-
i) Lot 15915 berkeluasan 4.86 ekar merupakan tanah rezab sungai;
ii) Lot 25613 berkeluasan 5 ekar diwartakan sebagai Sistem & Perkhidmatan Pembentungan bagi maksud pusat Rawatan Kumbahan IWK di bawah kawalan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP);
iii) Lot 6913 merupakan tanah kerajaan berkeluasan 1.71 ekar; dan
iv) Lot Rezab Kerajaan berkeluasan 7.05 ekar merupakan rezab sungai Hulu Kelang.Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah terlibat secara langsung dalam beberapa siri perbincangan bersama pihak Jabatan/ agensi teknikal negeri dan Persekutuan seperti Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Kementerian Sumber Asli dan Air (KASA), Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) serta Jabatan lain yang berkaitan.
Pembangunan Kg. Fajar ini adalah bersifat holistik, kerana bukan hanya ia melibatkan cadangan bagi memajukan kawasan Kg. Fajar tersebut namun turut melibatkan isu penyelesaian setinggan. Hasil bancian yang telah diadakan pada Februari 2015 oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merekodkan pendudukan haram 114 bilangan penghuni di atas tanah tersebut yang telah menetap hampir 40 tahun.
Justeru, bagi menyelesaikan penempatan semula penduduk ini, satu langkah sistematik bersama jabatan/ agensi teknikal yang berkaitan sedang digerak dan dilaksanakan di bawah UPEN dengan kerjasama LPHS dan Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kesejahteraan Bandar khusus menangani isu pendudukan haram di kawasan Kg. Fajar ini.
Cadangan pembangunan semula penempatan ini turut meliputi Lot 25613 yang merupakan tapak loji rawatan air (LRA) AMA 171 yang masih aktif beroperasi dan hanya boleh dimajukan setelah dinyahtauliah bergantung kepada kemajuan pembinaan Loji Rawatan Berpusat Bunus serta pembinaan rangkaian paip pembentungan diselesaikan.
Permohonan pelepasan keseluruhan tanah rezab persekutuan bagi Lot 25613 ini juga telah dikemukakan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan pihak KASA bagi maksud pertimbangan