Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
154) PERUNTUKAN BANTUAN SELANGOR BANGKIT
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah peruntukan yang telah diluluskan kepada mangsa banjir mencukupi atau memerlukan penambahan akibat permohonan yang terlalu tinggi?
Untuk makluman YB, sehingga 7 Mac 2022 seramai 115,852 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa banjir dan 14 orang waris mangsa meninggal dunia telah menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB). Berdasarkan bilangan permohonan yang tinggi dan kejadian bencana banjir yang berlaku adalah di luar jangkaan, terdapat keperluan untuk mengadakan peruntukan tambahan bagi meringankan beban mangsa banjir. Kerajaan Negeri akan membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan semasa Sidang Dewan Negeri kali ini bagi mendapatkan persetujuan Ahli-Ahli Dewan. Bagi tujuan tersebut, Bahagian Belanjawan, Perbendaharaan Negeri Selangor (PNS) akan memperincikan keperluan peruntukan tambahan yang akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negeri Selangor.
-
Adakah senarai semak disediakan sejak mula bagi permohonan ini sehingga menyebabkan kelewatan penyaluran setelah fasa pertama selesai?
Untuk makluman YB, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bertanggungjawab melaksanakan dasar, strategi dan arahan, pelan tindakan dan hala tuju dalam mengendalikan sesuatu bencana di peringkat daerah. JPBD berperanan menyelaraskan segala bentuk bantuan sebelum, semasa dan selepas bencana. Peranan yang berkesan dalam memantapkan sistem amaran awal bencana kepada orang ramai turut menjadi fokus JPBD. Dalam masa yang sama, JPBD akan memobilisasikan gerak tindak agensi responder seperti PDRM, JBPM, APM, serta agensi-agensi berkaitan.