Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

143) BANTUAN PEMBANGUNAN USAHAWAN

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan akan memperluas lagi Inisiatif Bantuan Pembangunan Usahawan dengan program-program baru?

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan terus melaksanakan program, latihan, promosi dan pemberian geran peralatan bagi melonjakkan para usahawan mikro yang merupakan salah satu nadi ekonomi masyarakat.

    Pada Tahun 2022, Kerajaan Negeri telah merangka dan melaksanakan beberapa program dan latihan bagi membangunkan semula Usahawan yang terkesan akibat pandemik Covid 19 dan juga Usahawan yang terlibat dalam bencana banjir.

    Selain itu, Kerajaan Negeri memperuntukan sejumlah dana pada setiap tahun bagi memperkasa dan melahirkan usahawan berjaya di Negeri Selangor. Sebahagian permohonan bantuan ini diproses sepanjang tahun dan mengikut proses kelulusan. Antara program yang dilaksanakan adalah seperti berikut:

    i. Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)

    Bantuan ini diberikan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju. Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan menikmati manfaat daripada bantuan ini. Pada Tahun 2022, program ini memberi fokus bantuan Geran Dana Usahawan
    Mikro kepada Usahawan-usahawan yang terjejas akibat banjir yang dapat membantu para Usahawan meneruskan perniagaan mereka yang terjejas dengan bantuan peralatan maksimum RM30,000.00.

    ii. Klinik Usahawan Selangor

    Penubuhan Klinik Usahawan Selangor adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Ia juga bertujuan untuk membimbing secara menyeluruh dalam perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan. UPEN Selangor bekerjasama dengan Bahagian Pembangunan Usahawan, PKNS memandangkan agensi tersebut berfungsi sebagai organisasi yang terlibat dengan pembangunan usahawan.

    iii. Latihan Keusahawan

    Latihan keusahawanan masih diteruskan pada tahun 2022 dengan fokus utama adalah membangunkan Usahawan Muda, Usahawan Digital dan juga pengembangan penggunaan e-wallet dalam urusan perniagaan. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti INSKEN, MARA, HIJRAH Selangor, SME Corporation, SIDEC, Invest Selangor dan Bahagian Pembangunan Usahawan, PKNS.

    iv. Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor

    Program ini bertujuan untuk membantu usahawan India yang berpotensi berkembang maju di dalam bidang perniagaan. Di samping itu, ianya dapat membantu usahawan India menjadi lebih berdikari dan mampu untuk menjana ekonomi. Program yang ditawarkan adalah latihan pengurusan merangkumi aspek pengurusan pemasaran dan kewangan, latihan kemahiran dan pembangunan, program inkubator bersama syarikat peneraju dan geran perniagaan.

    Melalui Yayasan Hijrah Selangor pula, pelaksanaan Skim i-Sosial dimana ianya khusus kepada usahawan atau rakyat Selangor yang memerlukan sumber kewangan bagi membiayai keseluruhan aktiviti pendidikan, latihan atau kursus yang berbayar. Selain daripada itu, skim ini juga bertujuan untuk membaikpulih kediaman atau pembelian kenderaan para Usahawan.

    Terdapat penambahbaikan bagi Skim Zero to Hero dari segi kenaikan pembiayaan di mana sebelum ini nilai pembiayaan adalah berjumlah RM5,000 dan kini telah meningkat kepada RM 10,000.

    Bagi Skim Go Digital pula, kenaikan nilai pembiayaan telah dinaikkan sehingga RM50,000 daripada nilai asal iaitu RM5,000 sahaja. Sebelum ini, kedua-dua skim ini hanya tertumpu kepada beberapa Syarikat Peneraju dan Rakan Strategik sahaja. Dengan peningkatan pembiayaan, skim ini dapat diperluaskan lagi dengan pelbagai pakej dari Rakan Strategik dan Syarikat Peneraju.

  2. Adakah kerajaan ada menyediakan Bantuan Khas Bencana Banjir kepada usahawan dan PKS Negeri Selangor?

    Pada Tahun 2022, Kerajaan Negeri telah merangka beberapa program dan latihan bagi membangunkan semula Usahawan yang terkesan akibat akibat pandemic Covid 19 dan juga Usahawan yang terkesan dengan bencana banjir. Fokus utama dalam membantu Usahawan yang terkesan akibat banjir adalah dengan mengutamakan pemberian Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) kepada Usahawan yang memerlukan bantuan dalam memulihkan perniagaan yang terjejas. Pemberian geran peralatan ini dapat membantu para Usahawan untuk meneruskan perniagaan mereka yang terjejas dengan bantuan peralatan maksimum RM30,000.00.

    Bagi peminjam Hijrah Selangor yang mengalami kerosakan kedai dan barangan jualan akibat banjir bulan Disember lalu, Hijrah Selangor telah melaksanakan moratorium bayaran balik selama 2 bulan bermula 22hb Disember 2021 sehingga 15 Februari 2022 bagi meringankan beban bayaran balik peserta yang terjejas akibat banjir.

    Selain daripada itu, Hijrah Selangor juga telah menawarkan Skim Pelan Pemulihan Pembiayaan dimana peserta Hijrah yang terjejas dengan bencana banjir boleh membuat penjadualan semula bayaran pinjaman bagi mengurangkan jumlah bayaran balik mingguan dengan tempoh maksima sehingga 5 tahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.