Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

105) PENCEMARAN UDARA PEMBAKARAN SECARA TERBUKA

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana Kerajaan Negeri memantau indeks kualiti udara?

    Indeks Pencemaran Udara (IPU) merupakan suatu kaedah umum dan termudah untuk menghuraikan status kualiti udara. Semakin besar nilai IPU menunjukkan semakin tinggi tahap pencemaran udara. IPU adalah dikira berdasarkan kepekatan enam (6) bahan pencemar utama iaitu ozon di permukaan bumi (O3), karbon monoksida (CO), nitrogen dioksida (NO2), sulfur dioksida (SO2), habuk halus bersaiz kurang dari 10 mikron (PM10) dan habuk halus bersaiz kurang dari 2.5 mikron (PM2.5). IPU ini dikategorikan sebagai baik, sederhana, tidak sihat, sangat tidak sihat dan berbahaya seperti berikut:

    Status kualiti udara di Malaysia dilaporkan menerusi bacaan IPU dan bacaan IPU seluruh negara termasuk Negeri Selangor sentiasa dipaparkan di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, Air Pollutant Index Management System (APIMS). Di negeri Selangor, sebanyak lima (5) Stesen Pengawasan Kualiti Udara Automatik telah dipasang di lima lokasi iaitu di Shah Alam, Petaling Jaya, Klang, Banting dan Kuala Selangor. Manakala satu (1) stesen bergerak (mobile) telah dipasang di Johan Setia, Klang.

  2. Adakah Kerajaan Negeri merancang untuk menambah stesen pengawasan udara bagi tujuan pemantauan kualiti udara?

    Pemasangan stesen pengawasan udara di Negeri Selangor merupakan salah satu aktiviti di bawah Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) di Jabatan Alam Sekitar. Di bawah EQMP, satu syarikat konsesi telah dilantik oleh Kerajaan Malaysia untuk melaksanakan skop-skop yang dipersetujui yang merangkumi pengumpulan data bagi pemantauan kualiti udara, kualiti air sungai dan kualiti air marin di seluruh Malaysia bagi melaporkan tahap sebenar kualiti alam sekitar negara dalam usaha untuk memantau, mencegah dan mengawal pencemaran. Sistem pengawasan EQMP berperanan sebagai mekanisma amaran awal bagi kejadian pencemaran alam sekitar termasuk jerebu.

    Justeru, di bawah program EQMP ini, pemasangan stesen baru di seluruh Malaysia perlu dikaji mengikut keperluan semasa dengan perlu mengambilkira justifikasi kukuh, kos pembinaan dan penyelenggaraan. Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan juga disarankan untuk mewujudkan stesen pengawasan udara di setiap daerah agar pengawasan udara dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

  3. Apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi memasti kualiti udara Selangor adalah sentiasa dalam keadaan yang baik?

    Bagi memastikan kualiti udara Selangor sentiasa dalam keadaan yang baik, JAS telah mengambil langkah-langkah seperti berikut:

    1. Menjalankan pemantauan dan rondaan darat secara harian ke kawasan yang berisiko berlakunya pembakaran terbuka termasuk rondaan pada cuti hujung minggu. Selain itu juga, pengawasan dan pemantauan juga turut dijalankan melalui penggunaan teknologi dron haba bagi mengesan pembakaran pada waktu malam.

    2. Jabatan Alam Sekitar telah mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

    3. Jabatan Alam Sekitar juga turut bekerjasama dengan agensi Kerajaan Negeri seperti Pejabat Daerah dan Tanah serta Majlis Perbandaran/ Bandaraya bagi memantau dan menjalankan penguatkuasaan ke atas kawasan pertanian seperti Johan Setia, Klang.

    4. Menyelaras pembangunan dan naiktaraf infrastruktur di kawasan pertanian Johan Setia seperti pembinaan telaga air tanah, piezometer dan sekatan check dam sebagai langkah pencegahan pembakaran terbuka. Sehingga kini sebanyak 2 unit telaga air tanah, 10 unit pizometer dan 4 check dam telah dibina di kawasan Johan Setia, Klang.

    5. Selain daripada tindakan penguatkuasaan dan pembangunan infrastruktur, Jabatan Alam Sekitar juga telah mempertingkatkan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar khususnya kepada orang awam, pihak industri dan para petani bagi memberikan kefahaman mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka. Seterusnya, bagi mengawal kepekatan partikel yang berpunca daripada aktiviti perindustrian, tindakan seperti berikut telah diambil:

    6. Jabatan Alam Sekitar juga melaksanakan pemeriksaan penguatkuasaan ke atas kilang-kilang yang melepaskan pencemar udara melebihi had yang dibenarkan dengan mengambil tindakan berkaitan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Di samping itu juga, kilang-kilang yang melepaskan pencemar udara ini juga telah diarah untuk memasang sistem kawalan Pencemaran Udara seperti Scrubber (Penggahar), Bag Filter (Penapis Beg) dan pemasangan sistem kawalan udara yang lain mengikut spesifikasi yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Alam Sekeliling.

    7. Pemantauan prestasi ke atas sistem kawalan pencemaran udara berkenaan juga dilaksanakan oleh Orang Yang berwibawa (OYB) bagi mengelakkan berlakunya pelepasan bahan pencemar ke udara yang melebihi had dibenarkan.

    Selain itu, Jabatan Alam Sekitar turut menjalankan penguatkuasaan ke atas kenderaan-kenderaan bermotor melalui ‘Operasi Gerak’ bagi memastikan pelepasan asap hitam dan gas mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Lampiran

Tiada Lampiran.