Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
90) PENGURUSAN SAMPAH DI KG TRADISI
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif pintar bagi mengurusan pembuangan sampah di kampung tradisi?
Salah satu inisiatif pintar yang telah dilaksanakan oleh pihak KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) selaku PMC (Project Management Company) adalah menggunakan peranti Vehicle Monitoring System (VMS) pada lori kompaktor dan lori Roll-On-Roll-Off (RORO) yang mana melalui teknologi ini pergerakan semua lori kompaktor dan lori RORO dapat dipantau secara real time dari Centralized Command Center (CCC) KDEBWM di Shah Alam. Ini adalah untuk memastikan lori kompaktor dan lori RORO tersebut membuat kutipan sampah mengikut jadual yang telah ditetapkan dan melupuskannya di tapak pelupusan yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri.
Pihak KDEBWM juga sedang menguji keberkesanan teknologi lain iaitu peranti level sensor yang akan dipasang pada tong sampah di kampung tradisi. Teknologi ini adalah untuk memudahkan pengenalpastian tong-tong sampah yang telah penuh dan perlu dikutip segera tanpa perlu menunggu jadual kutipan yang telah ditetapkan. Pengujian ini sedang diperhalusi dan memerlukan perbincangan lanjut bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana melibatkan peruntukan tambahan dan risiko seperti kecurian dan vandalisme.
-
Berapakah jumlah bajet di yang disediakan untuk menyediakan tong-tong sampah di kampung tradisi pada tahun ini?
Penyediaan tong-tong sampah adalah di bawah tanggungjawab PBT dan tiada kos spesifik yang ditetapkan untuk kampung tradisi memandangkan keseluruhan kos pembersihan adalah melalui inventori yang dikemukakan kepada pihak KDEBWM. Penggantian tong sampah di pusat tong yang berada di kawasan kampung tradisi oleh PBT adalah mengikut keperluan dari semasa ke semasa.
Bagi PBT yang kurang berkemampuan pula khususnya yang berstatus Majlis Daerah boleh mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kerajaan Negeri sepertimana pihak Majlis Daerah Kuala Selangor (kini Majlis Perbandaran Kuala Selangor) yang telah menerima sebanyak RM261,300.00 bagi penggantian tong leach bin 1,500 liter pada tahun 2021.
Dalam masa yang sama, pihak KDEBWM juga memaklumkan bahawa atas dasar Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan tertakluk kepada kemampuan kewangan, pihak KDEBWM akan membuat menyumbang tong-tong sampah di kawasan kampung tradisi.