Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

88) KEMARAU 2025

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan langkah-langkah yang sedang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menghadapi kemarau berpanjangan dari 2025-2035 yang diramalkan oleh NAHRIM terutamanya dari segi (a) kelestarian air dan (b) sekuriti makanan.

    NAHRIM menjangkakan kemarau yang melampau di Semenanjung Malaysia akan berlaku pada tahun 2025 hingga 2035. Di Negeri Selangor dijangkakan akan berlaku pengurangan hujan dalam julat 0.1% sehingga 36.3%. Sekiranya jangkaan NAHRIM ini berlaku, ia akan memberikan kesan ke atas sumber air mentah di mana paras sungai akan mengalami penyusutan dan akan mengurangkan baseflow sungai dan seterusnya akan menyebabkan paras empangan mengalami penyusutan dan mengganggu sumber bekalan air mentah bagi loji-loji yang berkaitan. Sekiranya tiada persediaan rapi, dijangka berlaku gangguan bekalan air berskala besar

    Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama dengan semua agensi membuat persediaan seperti berikut:-

    1) Perancangan di bawah Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang merangkumi 2 fasa, iaitu Fasa 1 bagi menangani isu pencemaran air di Sungai Selangor dan Fasa 2 bagi memastikan kecukupan air mentah dalam menghadapi musim kemarau.

    2) Di bawah SJAM Fasa 2, Kerajaan Negeri menumpukan kepada Program Pengurusan Sumber Air secara holistik bagi memastikan simpanan air mencukupi untuk menampung permintaan pada ketika itu. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah melaksanakan pembangunan inventori menyenaraikan semua kolam takungan dan tasik di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor akan memanfaatkan semua kolam takungan dan tasik yang telah disenaraikan tersebut sebagai sumber air alternatif semasa musim kemarau selain dari kolam takungan di bawah Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) sedia ada.

    3) Kerajaan Negeri Selangor juga meneliti semua prasarana yang berkaitan dengan bekalan air seperti jajaran paip dan sistem pengepaman supaya boleh dioperasikan apabila diperlukan semasa kemarau kelak.

    4) Beradasarkan kepada unjuran bekalan dan permintaan air yang disediakan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan telah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), unjuran bekalan air pada tahun 2025 adalah sebanyak 7,156 Juta Liter Sehari (JLH) manakala unjuran permintaan air adalah sebanyak 6,131 JLH. Unjuran ini dbuat berdasarkan kepada pereancangan sekiranya Skim Air Sungai Rasau yang telah diluluskan pelaksanaannya oleh Kerajaan Negeri Selangor dapat disiapkan sepenuhnya pada akhir tahun 2024. Fasa 1 Skim ini dapat membekalkan air sebanyak 700 JLH bagi menampung permintaan kawasan Klang dan siapnya projek ini dapat meningkatkan rizab bekalan air kepada 14.3%;

    5) LUAS bersama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengenalpasti dan menyenaraikan punca air bawah tanah untuk dijadikan sebagai sumber air;

    6) Kerajaan Negeri bersama dengan Air Selangor akan menggiatkan lagi kempen Jimat Air bagi memastikan penggunaan air yang berhemah; dan

    7) Air Selangor memastikan fasiliti seperti lori tangki, rumah pam dan lain-lain sentiasa dalam keadaan siap siaga.

    Bagi persediaan untuk sekuriti makanan pula, kesemua perancangan dan pelaksanaan projek seperti yang telah dinyatakan di atas secara langsung akan turut membantu sektor pertanian sebagai persediaan musim kemarau dan sebagai tambahan bagi bidang penanaman padi penyelenggaran kolam tadahan air khususnya untuk sawah yang terletak di Daerah Sabak Bernam akan sentiasa diselenggara selain daripada kerja-kerja mendalamkan terusan dan menaik taraf palong-palong sedia ada

Lampiran

Tiada Lampiran.