Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
52) BANTUAN BANJIR
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan prihatin dengan pemilik kedai yang musnah barangan atau mangsa yang tinggal di kedai sewa yang dihuni sebagai kediaman? Apakah bantuan yang telah diberikan kepada mereka?
Selain Bantuan Bangkit Selangor (BSB), Kerajaan Negeri juga memperkenalkan inisiatif pembaikan kediaman, bantuan segera kerja-kerja pembersihan, menyelaras bantuan dari Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), kerja-kerja pembaikan infrastruktur awam serta menyelaras bantuan-bantuan daripada Kerajaan Persekutuan bagi meringankan beban mangsa banjir.
-
Apakah bantuan kepada petani dan pekebun kecil yang terjejas banjir?
Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan pasca banjir kepada petani yang terjejas teruk dan bantuan yang disalurkan adalah dalam bentuk input pertanian seperti baja NPK 15:15:15 dan baja fertigasi.
Di peringkat persekutuan pula,Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) telah mewujudkan dua jenis insentif bencana bagi membantu petani yang terjejas akibat banjir iaitu:
i. Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP)
Bantuan kepada petani/ pengusaha di dalam kawasan jelapang padi atau luar jelapang.
Bantuan berbentuk kewangan dan bukan kewangan (input pertanian) tertakluk kepada kelulusan JK Induk TBTP
ii. Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA)
Bantuan kepada golongan Petani, Penternak, Nelayan, Pertubuhan Peladang, Pemasar Agromakanan, Pengusaha Akuakultur, Pengusaha IMAT, Pengusaha Agropelancongan dan Persatuan/ Koperasi berasaskan pertanian yang berdaftar dengan Jabatan dan Agensi yang berkaitan
Bantuan Bukan Kewangan (Input pertanian/ peralatan/ mesin) mengikut nilai kadar yang ditetapkan atau bantuan lain yang bersesuaian dan diluluskan oleh JK Induk PPSPA
Untuk rekod, Kerajaan Negeri telah memberikan bantuan awal kepada seramai 250 orang petani yang terjejas banjir dengan nilai RM500,000.00 manakala tambahan peruntukan dalam bentuk baja NPK dan baja fertigasi akan disalurkan kemudian.
Di peringkat Kerajaan Persekutuan pula, bagi kejadian banjir pada bulan Oktober hingga November, jumlah peruntukan yang telah disalurkan kepada 28 petani adalah sebanyak RM202,818.25 manakala bagi banjir besar yang melanda pada bulan Disember 2021 pula jumlah peruntukan yang disalurkan kepada 373 orang petani yang terjejas teruk adalah RM4,177,953.30